Masa berlalu. Kerisauan aku semakin menggila. Diri ini dirasakan semakin tegang. Hendak duduk, serasakan tidak kena. Hendak berdiri pun dirasakan tidak kena. Lama-kelamaan kulabuhkan jua punggung di kerusi yang disediakan, bersama-sama mereka yang lain di ruang menunggu. Tetapi, aku mengambil kedudukan yang agak jauh daripada mereka. Aku langsung tidak bertegur sapa dengan sesiapa.
Walaupun abang dan kakak malah Rohana dan Norlida datang menegur, aku tak mampu untuk berbual. Setiap masa aku dipalu dengan kerisauan. Akhirnya mereka meninggalkan aku sendirian di situ. Tetapi sebelum melangkah pergi, mereka sempat memberikan kata dorongan dan perangsang.
Lebih kurang pukul 1 tengahari, Abah cuba memujukku untuk makan tengahari, tapi aku menolak. Seleraku tiada. Lagipun aku tidak mahu berada jauh dari sisi Zafir pada saat ini. Aku merenung lantai yang memanjang di hadapan mata dan mendengar degupan jantungku sendiri. Langsung tidak ku pedulikan pada perkara lain yang terjadi di sekeliling.
Dua jam kemudian, seorang doktor menghampiri tempat kami menunggu. Aku tak pasti samaada dia terlibat ataupun tidak dalam pembedahan Zafir. Namun, apabila dia menghampiri Aunty Zuraidah dan Uncle Johan, aku yakin dia terlibat. Mereka bertiga bergerak ke tempat yang agak jauh dari orang lain. Mungkin apa yang ingin diperkatakan oleh doktor itu, terlalu peribadi.
Seketika kemudian, aku melihat Uncle Johan menggelengkan kepalanya dan secara tiba-tiba raungan Aunty Zuraidah bergema. Sepantas kilat, Adrina berlari ke arahnya mamanya. Dipeluk mamanya erat. Adakah apa yang bermain di fikiranku ini benar?
Segera aku menghampiri mereka bertiga, setelah doktor itu berlalu pergi.
“Uncle?” ujarku sepatah.
“Maaf Har, Zafir tak dapat diselamatkan,” ujarnya dalam sebak yang cuba di tahan.
Aku terpaku di situ buat seketika. Sebaris ayat itu cukup membuatkan aku hilang semangat dan kekuatan diri. Zafir telah pergi… pergi yang takkan kembali. Pilunya hati tidak tertanggung. Sebak semakin membalut hatiku. Dada serasakan mahu pecah. Dan air mata kembali membanjiri pipi. Aku tak punya kekuatan untuk menghadapi saat-saat begini. Aku tak berdaya. Di hadapanku kini terbentang sebuah kehidupan yang kelam, tak bercahaya. Sebuah kehidupan tanpa kehadiran Zafir untuk menceriakannya. Aku tak pasti samaada aku mampu menghadapinya.
Aku mendengar bisikan-bisikan suara di sekeliling, semuanya seolah-olah begitu asing bagiku. Tidak satu pun diambil tahu. Perlahan-lahan aku berdiri dan melangkah meninggalkan semua yang ada di situ. Tidak tahu kemana arah kakiku melangkah. Aku hanya berjalan.
Perkarangan pintu masuk utama hospital telah kulewati. Tapi langkah kakiku masih tidak berhenti. Akhirnya, aku terhenti di hadapan sebuah bangku di perkarangan hospital. Terduduk aku disitu. Air mata yang mengalir langsung tidak diseka.
Begini akhirnya episod cinta kami. Belum pun sempat kami mengecapi impian untuk hidup bersama. Mengapa harus dia yang pergi dulu? Esakan yang mulanya perlahan bertukar menjadi kuat. Kuluahkan segala tangisan dan hibaku di situ. Betapa pilu dan pedihnya hati ini hanya Tuhan yang tahu…
~~ KYKS ( ----<<--@ ) KYKS ~~
RUMAH Zafir diselubungi dengan suasana sayu. Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan perasaan penghuninya. Aunty Zuraida, Uncle Johan dan Adrina sentiasa menemani jenazah Zafir dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran. Buat mengiringi pemergian insan tersayang. Begitu juga aku yang masih terjelepok kesedihan turut sama menyimpuh di sisi katil dengan Al-Quran ditangan. Dari saat mayat arwah Zafir dibawa pulang ke rumah, tidak sedikit pun aku berganjak dari tempat dudukku.
Selepas dimandikan dan dikafankan, jenazah Zafir diusung ke masjid berdekatan untuk disembahyangkan. Hatiku merintih pilu saat menyaksikan jenazah Zafir di bawa pergi. Dia akan berpisah dariku buat selama-lamanya.
Jenazah Zafir dikebumikan di tanah perkuburan. Ramai sanak-saudara dan teman-temannya yang mengiringi pemergiannya. Untuk memberikan penghormatan terakhir terhadap arwah. Aku yang turut serta semakin tidak berdaya. Dari saat berita kematian Zafir diterima hinggalah saat Zafir dikebumikan, air mataku tidak henti-henti mengalir. Kalaupun berhenti, hanyalah untuk sementara, kerana tangisan itu akan tetap bersambung kembali.
Malamnya, selesai kenduri tahlil, aku dibawa pulang ke rumah oleh ibu dan abah. Sebaik tiba di rumah, aku terus menghayun langkah kaki ke arah bilik tidur. Baju kurung yang dipakai sejak tadi, ditukar. Kugantikan dengan sehelai pijama. Kemudian, aku berbaring di atas katil.
Mataku memandang setiap penjuru bilik. Gelap. Segala-galanya yang dipandang langsung tidak membawa apa-apa makna padaku. Kosong. Semakin diingatkan Zafir, semakin sakit, semakin menggigit kesengsaraan yang kualami ini.
Kupejamkan mata. Melayangkan fikiranku jauh mengimbas kenangan antara aku dan dia. Air mata berjurai-jurai jatuh membasahi pipi dan aku menangis tersedu-sedan di atas katil.
Terasa betapa kecilnya aku saat itu. Sempitnya dunia ini kurasakan. Segalanya dirasakan semakin menghimpit perasaan dan nafasku sesak menahan sendu. Ya ALLAH! Bantulah hamba-Mu, bantulah aku yang menghadapi dugaan dan ujian-Mu, berilah aku kekuatan Ya ALLAH. Bisikku seorang diri.
Air mata berlinang lagi. Serasakan baru semalam Zafir bergurau-senda denganku. Serasakan kelmarin aku berkongsi cerita dengan Zafir. Ke manakah hilangnya segala kebahagiaan dan kegembiraan itu? Aku cuba mengembalikan kekuatan diri. Tapi usahaku sia-sia apabila kerinduan dan ingatan terhadap Zafir menggamit seluruh ruang hati dan perasaan ini.
Beberapa ketika kemudian, kedengaran ketukan di pintu bilik. Seraut wajah ibu muncul. Cahaya terang dari koridor menyimbah masuk ke dalam bilikku yang gelap. Aku memalingkan muka apabila cahaya tersebut menyilaukan pandangan mata.
“Dina…” Ibu duduk di birai katil. “Sayang… ada apa-apa yang Dina nak..” ajunya sambil membelai rambutku lembut.
“Dina nak Zafir,” ucap aku dalam esak tangis. Ya ALLAH, berdosanya aku berkata begitu. Seakan aku tak redha dengan pemergiannya. Cepat-cepat aku beristighfar di dalam hati.
“Dina… jangan macam ni. Ibu faham perasaan Dina. Tapi, Dina kena ingat, sedalam mana pun sayang Dina pada Zafir, ALLAH lebih mengasihinya. Redhakanlah pemergian dia, Dina.” Nasihat ibu.
“Dina nak tidur, bu.” Aku berkata perlahan. Selimut di hujung katil ditarik ke atas sehingga menutupi keseluruhan tubuhku. Beberapa minit kemudian, kedengaran pintu bilik ditutup.
“Zafir,” Aku berbisik dalam kegelapan. “Har rindukan Fir… rindu teramat,” tangisku lagi.
~~ KYKS ( ----<<--@ ) KYKS ~~
SUDAH hampir seminggu Zafir kembali ke rahmatullah. Setiap petang, semenjak enam hari yang lalu aku berteleku di meja taman di halaman rumah. Mengimbas kenangan yang terindah yang pernah aku dan Zafir kecapi. Amat payah untukku hilangkan kenangan itu. Hampir setiap saat dan ketika ia akan datang menggamit hati dan sanubari ini. Sudah habis air mataku ditumpahkan menangisi pemergian Zafir.
Kakak dan abang datang menziarah hari ini. Aku tahu abah yang menyuruh mereka pulang. Pulang untuk menjenguk adik mereka yang seorang ini. Adik yang masih dalam keadaan tertekan. Aku bersalah kerana membuatkan abah dan ibu risau. Maafkan Dina… abah, ibu. Fikiran Dina masih tak tenteram… Dina masih mencari arah hidup dan ketenangan tika ini.
Telingaku menangkap bunyi derapan tapak kaki menghala ke tempatku sedang menyendiri. Ku toleh sekilas. Kakak. Apa mahunya? Dia mengambil tempat duduk di kerusi bersebelahan denganku.
“Kenapa Dina duduk sorang-sorang kat sini?” Lembut suaranya menegur.
Aku diam membisu. Sepatah pun aku tak membalas pertanyaannya. Kakak membelai lembut rambutku yang separas bahu.
“Akak tahu Dina sedih. Akak pun sedih jugak. Tapi orang yang dah pergi, tetap pergi. Kita yang hidup kena teruskan kehidupan kita.” Ujar kakak lagi apabila aku langsung tak bersuara.
Terus-terusan aku mengunci bibir. Ku merenung pokok bunga ibu yang ditanam di pinggir pagar. Beberapa ekor rama-rama hinggap menghisap madu. Berserinya bunga itu ada rama-rama yang sudi datang menemaninya. Tiba-tiba aku terkenangkan sikap Zafir yang gemar menghadiahkan aku bunga mawar setiap kali dia memujukku. Alangkah indahnya memori itu. Segalanya terakam kemas di minda.
Aku terdengar kakak mengeluh perlahan. Di waktu itu juga, abang datang menghampiri kami. Dia mengambil tempat duduk betul-betul di hadapanku. Aku cuba melarikan anak mataku dari berpandangan dengannya.
“Abang sedih tengok Dina seksa diri sendiri.” Ujar abang memulakan kata. “Sampai bila nak begini? Dah tujuh hari arwah pergi. Abang tengok dari hari kematian Zafir sampai sekarang, Dina still tak berubah. Bercakap pun tak. Makan pun tak tentu. Ibu dengan abah tu, lagi risau tengok Dina macam ni. Kalau tak kesiankan diri sendiri pun, kesiankanlah mereka.”
Aku melemparkan pandangan ke luar rumah. Tak mahu menatap wajah abang. Seakan ingin aku katakan pada mereka supaya meninggalkan aku sendirian. Aku masih tak mampu berbicara. Kehilangan Zafir terlalu menyeksa jiwa.
Rimas dengan keadaan itu, aku mengambil keputusan untuk mengurungkan diri di dalam bilik. Baru aku berfikir untuk bangun, kedengaran enjin kereta memasuki perkarangan rumah. Serentak abang dan kakak berpaling. Aku langsung tidak menoleh melihat kedatangan tetamu di waktu petang begini. Niatku untuk ke bilik, terhenti.
Pintu kereta pemandu dibuka. Suara orang memberi salam kedengaran lantang. Aku kenal suara itu. Uncle Johan! Segera aku berpaling. Dia tersenyum mesra ke arah kami. Pintu di sebelah penumpang juga terbuka. Seketika kemudian, muncul Adrina berjalan ke arah kami sambil memegang sesuatu.
Uncle Johan memerhatikan wajahku. Ditenung lama. Aku jadi menggelabah. Teruk sangatkah keadaanku kini?
“Har sihat?” tanyanya.
“Alhamdulillah,” Aku berbohong. Suaraku serasakan tersekat di kerongkong. Aku tak pasti dia mendengarnya atau tidak.
“Har… uncle harap Har tak menyeksa diri sendiri. Kalau rasa hati tak tenang, sentiasa berzikir dan bertasbih pada Allah. Ingat DIA selalu. Insya-ALLAH… hati Har akan lebih tenang dan damai lepas tu.”
Aku mengangguk tanda mengerti. Tiada kata-kata yang dilafazkan.
“Abah dengan ibu ada?” tanya Uncle Johan kemudian.
“Ada kat dalam. Uncle masuklah dulu.” Usul abang. Dia bangun dari tempat duduknya. Beriringan dia berjalan dengan Uncle Johan masuk ke dalam rumah.
“Buat apa kat sini?” Adrina yang mendiamkan diri dari tadi bertanya. Tangan kakak dicapai lalu diciumnya lembut. Diulangi perbuatan yang serupa padaku. Kerusi abang yang kosong ditinggalkan, didudukinya.
“Saja sembang-sembang, temankan Kak Har,” sahut kakak.
“Kak Har, apa khabar?” tanya Adrina padaku. Perlukah aku menjawab soalan itu? Sihatkah aku? Tiada jawapan pasti yang dapat kuberikan. Namun ku jawab jua, “Baik.” Tiada semangat langsung pada nada suaraku.
“Tujuan Rina datang ni, nak bagi sesuatu pada Kak Har.” Tanpa menunggu lama, dia terus menyampaikan hajat dan tujuannya ke mari. Diletakkan sebuah kotak hadiah dan sekeping surat di hadapanku.
Tak berkelip aku merenung Adrina. Terkejut dengan pemberian yang tak disangka. Kukerling sekilas kotak hadiah yang berwarna merah jambu itu dan surat yang berada di atasnya.
“Ambillah. Abang yang suruh Rina berikan pada akak sebelum dia meninggal.”
Tersentak aku memandangnya. Benarkah? Tapi untuk apa? Pantas tanganku mencapai surat bersampul biru dahulu. Bucu surat tersebut kukoyak rakus. Kukeluarkan isinya. Tulisan tangan Zarif menyapa pandangan. Terus aku membaca isi kandungan surat tersebut.
Assalamualaikum Warahmatullah,
Menemui insan yang satu-satunya bertakhta di hati, Hardina…
Apa khabar sayang? Harapan Fir semoga Har sihat. Mentally and physically. Surat ini Fir coretkan di waktu pagi sebelum Fir dijadualkan menjalani pembedahan. Fir tak tahu samaada peluang untuk Fir terus bernafas di bumi Allah masih ada atau tidak kerana peluang untuk pembedahan ini berjaya amat tipis. Fir tak pernah maklumkan perkara ini pada Har, kan? Fir mohon maaf. Dan seandainya surat ini berada di tangan Har, itu bermakna Fir sudah tiada lagi di alam fana ini.
Kelopak mataku mula memberat. Terasa pedih tiba-tiba.
Har yang disayangi,
Sesungguhnya setiap pertemuan ada perpisahan. Dan langsung tak pernah terlintas di hati Fir kita akan berpisah di kala cinta kita masih kuat dan utuh di hati masing-masing. Inilah dugaan Allah untuk kita, Har. Telah Fir pujuk hati untuk menerima apa jua suratan Ilahi. Tetapi Fir takut sekiranya Har tak dapat menerima kenyataan. Di benak ini sering tertanya-tanya bagaimanakah kehidupan Har setelah Fir tiada di sisi. Mampukah Har menghadapinya sendirian? Ketahuilah sayang, hati ini sentiasa sarat dengan cinta dan kasih sayang Har… hingga ke nafas terakhir Fir di dunia ini.
Maaf sekali lagi… kerana Fir tak dapat menunaikan impian kita untuk hidup bersama, mengakhiri cinta kita dengan bahtera perkahwinan. Dan juga kerana Fir tak dapat nak membahagiakan Har sehingga ke akhir hayat Har dan terima kasih yang teramat Fir ucapkan buat Har sebab sudi membahagiakan hidup Fir sehingga ke akhir hayat ini. Sesungguhnya di saat-saat akhir kehidupan ini, Fir bersyukur sangat sebab ada family, kawan dan Har terutamanya di sisi untuk bersama-sama berkongsi penderitaan ini. Segala pengorbanan dan kesetiaan yang Har curahkan, amat bermakna buat Fir. Terasa betapa dalamnya cinta dan kasih sayang Har. Fir bahagia yang teramat. Terima kasih banyak-banyak sayang…
Pandangan mataku pada surat itu mula dikaburi air mata. Ku gagahkan jua membaca sehingga ke penghabisan.
Har yang dikasihi,
Fir harap Har tabah menghadapi dugaan ini. Sentiasalah mengingati ALLAH dan bertawakal kepada-NYA, sesungguhnya hanya pada-NYA tempat kita mengadu dan memohon pertolongan. Har binalah hidup baru. Har masih muda, terlalu banyak yang belum Har kecapi dalam hidup ini. Fir juga mendoakan agar Har akan bertemu dengan seseorang yang mampu mengubat hati Har dan seterusnya membahagiakan dan menggembirakan hati Har kelak. Sebagai pengganti diri Fir yang tak dapat menjaga dan membahagiakan Har sepanjang hayat dan seterusnya bakal menunaikan impian Har untuk hidup bersama insan tersayang.
Satu permintaan Fir, tolonglah jengok-jengokkan family Fir. Anggaplah mereka seperti family Har sendiri. Jaga, didik dan bantulah Rina. Dia tiada tempat untuk mengadu. Anggaplah dia seumpama adik kandung Har sendiri. Fir tak sempat nak menjaga dan mendidik dia dengan sebaik-baiknya.
Seperkara lagi, seandainya mengingati Fir hanya menambah luka di hati Har, lupakan Fir buat selama-lamanya. Redhakanlah pemergian Fir…
Wassalam.
Salam Sayang,
Zafir.
Aku terhenyak di kerusi. Menitis jua air mata ini. Setitik demi setitik membasahi warkah terakhir pemberian Zafir. Sayu hatiku membaca surat itu. Sebak dan sedih bercampur baur. Ku kesat air mata dengan hujung t-shirt lengan panjang yang aku pakai.
Aku mencapai bungkusan hadiah yang berada di atas meja. Lalu mengoyak pembalutnya. Alangkah terkejutnya aku apabila melihat isi kandungan kotak itu. Di dalamnya tersisip rapi sebuah kotak cincin berbaldu merah dan sebuah bingkai gambar. Sekuntum bunga mawar yang telah dikeringkan diframe kemas di dalamnya.
Aku mencapai pula kotak cincin lalu membukanya. Sebentuk cincin emas putih bertatah berlian, bersinar indah di dalamnya. Aku terkedu. Air mata menitis lebih laju. Bibirku bergetar hebat. Sebak menyelubungi keseluruhan hati ini.
“Akak, cincin tu abang beli dah lama. Sebelum dia disahkan menghidap cancer lagi. Abang pernah beritahu mama, dia nak meminang akak hujung tahun ni. Tapi sekarang…” Ayat yang dituturkan Adrina terhenti.
Aku terus tersedu-sedan di situ. Pilunya hati mendengar hajat yang tak kesampaian. Terhenjut-henjut tubuhku menangis. Ku pekup tangan di mulut agar esakan ku tak kedengaran.
“Akak,” panggil Rina dengan suara yang bergetar.
Aku mengangkat wajahku yang basah lencun dengan air mata. Ku lihat kolam mata Adrina turut berkaca. Pantas aku bangun menghampirinya, kupeluk dia seerat-eratnya. Adrina membalas. Aku menyambung tangis di bahunya. Adrina turut mengalirkan air mata, begitu juga kakak yang sedari tadi hanya memerhati. Esakannya yang perlahan menyapa lembut di telingaku.
“Mulai hari ini Rina adik akak. Akak akan sentiasa di sisi Rina.” Janjiku padanya bersama esak tangis yang panjang.
Fir… tahukah Fir betapa seksa dan deritanya Har? Setiap saat dan ketika hanya Fir di ingatan. Sudah puas Har cuba tabahkan diri ini, tapi Har hanya seorang insan yang lemah. Seorang insan yang tak berdaya. Har tak kuat nak menghadapi dugaan ini. Dan permintaan Fir agar Har melupakan insan yang selama ini terpahat kukuh di hati, terlalu mengguris hati ini. Sedarkah Fir? Biarpun sedalam mana luka dan kesakitan yang Har rasakan tiapkali wajah Fir terlukis di ingatan, takkan sesekali Har lupakan Fir. Hingga ke akhir hayat ini, nama Fir akan tetap bersemadi di jiwa. Desisku di dalam hati.
Kini…
Yang tinggal hanyalah kegelapan…
Membiaskan warnanya ke segenap alam
Kini…
Yang tinggal hanyalah kesepian…
Memenuhi dan mengasak setiap ruang dan ketika
Kini…
Yang tinggal hanyalah kenangan…
Menggamit dan mengheret ke lembah duka yang tak bertepi
Kini…
Yang tinggal hanyalah bahang cintamu…
Yang akan sentiasa menghangatkan cintaku dan rinduku padamu
Buat selamanya…
- T A M A T -
