Fuh! Nasib baik dia masih ada kat situ.
“Iza.” Aku memanggil Alia Fariza atau lebih dikenali sebagai Fariza, student baru seperti aku merangkap housemateku. Terpacak dia berdiri menunggu kedatanganku di hadapan fountain di perkarangan universiti.
Lantas dia berpaling ke arahku setelah terdengar namanya dipanggil. Mukanya masam mencuka. Lebih masam dari buah asam yang berkedut seribu itu.
“Dah lama tunggu?” Aku menyapa.
"Lama. Macam bertahun. Nasib baik aku tak blah. Tumit aku ni dah naik kematu. Student yang lalu-lalang kat sini, asyik pandang muka aku aje. Ingat aku ni statue baru kat sini gamaknya. Apasal lambat?” tanyanya disertai bebelan percuma buatku.
“Tak sengajalah. Prof lepas lambat sikit ari ni. Aku minta maaf.” Pohonku ikhlas.
Lambat sikit? Detik hatiku. Setengah jam diklasifikasikan sebagai lambat sedikit ke? Ikut sedap mulut aje aku menuturkan perkataan itu. Untung juga Fariza seorang yang penyabar. Kalaulah dia tidak mempunyai sikap yang berharga itu, sudah pasti ditinggalkan tempat ini lima belas minit yang lalu. Sedetik, aku berasa kasihan pada dia kerana terpaksa menanti terlalu lama di sini.
Namun, tiada apa yang mampu aku lakukan ketika Prof. Smith terus-menerus meneruskan tutorialnya. Yang mampu aku lakukan hanyalah mendengar dan menyalin apa yang disebutnya, disamping melakukan kerja tambahan iaitu memikirkan ‘nasib’ Fariza di sini.
“Yalah, yalah. Kemaafan diterima. Jomlah. Perut aku dah tak tahan lapar,” ujarnya. Lengan ku ditarik laju ke arah cafeteria universiti. Aku hanya menurut. Takut nak membantah. Takut bebelan Fariza semakin panjang. Tambahan pulak, aku rasa bersalah kerana membuatkan dia menunggu lama di situ.
Hatiku senang mendengar Fariza memaafkan kelewatanku. Serta-merta aku teringatkan perempuan pagi tadi. Kenapa dia tak seperti Fariza? Senang memaafkan kesalahan orang lain. Kenapa perlu terlalu berkira? Sedangkan Nabi pun ampunkan umat. Selama ini tak ada pulak aku terdengar, memaafkan orang lain kena membayar duit ataupun kena membunuh diri. Ish… susah betul nak faham!
Suasana di cafeteria hiruk-pikuk. Tak ubah seperti berada di pasar. Keadaan gamat dengan suara student bersembang dan berbincang. Juga bunyi pinggan mangkuk berlaga, ikut kedengaran.
Bebola mataku memerhati ke sekitar ruang cafeteria. Mencari-mencari meja makan kosong. Kelihatan tak banyak meja makan yang tinggal. Kebanyakkannya telah berpenghuni.
Setelah puas berfikir dan menimbang-nimbang kedudukan yang strategik, aku dan Fariza memilih meja makan yang terletak berdekatan dengan pintu. Boleh mencuci mata melihat pemandangan di luar. Senang juga nak melarikan diri sekiranya ada kebakaran, detik hatiku nakal.
Belum sempat aku melabuhkan punggung, Fariza bersuara.
“Kau tolong orderkan untuk aku, boleh? Seru alam panggil ni!”
"Seru alam?” ulangku dengan dahi berkerut seribu. Apa benda yang Fariza ni cakap? Seru alam tu apa? Ish… mustahil ada ibu bapa yang sanggup letak nama anak mereka seru alam. Pelik semacam aja. Kalau melati, melur, kiambang tu biasalah aku dengar, hatiku tertanya-tanya.
Fariza ketawa melihat reaksiku. Agaknya buruk sangat riak wajahku kala itu. Aku pula terlupa nak membawa cermin. Kalau tak, bolehlah aku belek sekejap wajahku ini. Nak tengok jugak, bagaimana ‘segaknya’ rupaku hinggakan Fariza boleh ketawa sebegitu.
“Aku nak gi toiletlah, tolong yek!” terangnya dalam sisa ketawa yang masih ada. La… aku ingatkan apa benda. Buat suspense je Fariza ni, ngomelku dalam hati.
“Ok. Kau nak makan apa?”
“Burger and fresh orange. Aku blah dulu. Tak tahan dah ni,” pantas Fariza berkata. Cepat langkahnya di atur keluar cafeteria. Meninggalkan aku keseorangan. Aku hanya menggeleng kepala melihat kelakuannya. Kacau sungguh! Tadi sibuk cakap lapar, sekarang sibuk nak pergi toilet pulak. Makan pun belum dah nak membuang? Advance budak ni! Senyuman kecil terukir di bibirku.
Kemudian, aku menghayunkan langkah kaki ke kaunter pesanan. Dua burger, satu fresh orange dan satu pepsi. Siap! Duit bertukar tangan. Aku membawa tray ke meja makan yang sedia menanti.
Tiba-tiba…
Buk! Melayang tray berisi burger, fresh orange dan pepsi ke udara.
Pang!!! Lalu mendarat di atas lantai cafeteria. Bunyinya bergema di dalam ruang itu. Serta-merta ruang cafeteria yang tadinya hiruk-pikuk menjadi sunyi-sepi. Seperti lepas dilanggar garuda. Semua mata tertumpu ke arahku.
Malunya!!! Merona merah aku rasakan wajahku ini. Aku terpaku dan kaku ditempat aku berdiri. Percikan air gabungan fresh orange dan pepsi mewarnai seluar dan bajuku.
Andai kata aku mempunyai tongkat sakti macam Miss Comet, dah lama aku hilangkan diri daripada tatapan mata-mata mereka. Insan yang setia dan tak reti nak mengalihkan pandangan ke arah lain.
Macamlah aku ini bertukar menjadi Cinderella di hadapan mata mereka. Pandang anak dara orang sikit-sikit sudahlah! Eeii, susah jugak jadik orang glamour secara tiba-tiba ni, rungutku.
Aku kembali semula ke dalam diri. Menghalang diriku dari terus hanyut di alam ku sendiri. Aku perlu berhadapan dengan kenyataan bahawasanya di kala dan tika ini, aku, Nur Irdina Farhani berada di dalam keadaan yang genting. Antara perlu berdiri di sini dengan muka selamba seraya menambahkan ketebalan kulit mukaku menjadi 10cm ataupun terus lari macam road runner lalu menyembunyikan diri di dalam tandas. Time to choose…
Manusia manalah yang buta! Marahku dalam hati ketika aku masih berkira-kira dengan pilihanku. Namun, pantas aku tersedar. Salah aku jugak kejadian tak terduga ini terjadi. Entah di manalah aku dah lemparkan pancaindera yang ALLAH berikan padaku sebentar tadi. Khusyuk berjalan hingga terlupa untuk memandang ke kiri dan kanan. Mujur dalam cafeteria, kalau di jalan raya? Alamatnya, dah lama aku tersadai di katil hospital!
Aku menoleh ke kanan. Ingin memandang tuan empunya badan di samping meringankan bibirku ini untuk meminta maaf.
Hampir tersembul biji mataku memandang seraut wajah yang berdiri mematung di depanku.
Dia!!! Perempuan yang aku langgar pagi tadi! Ini kes nak balas dendam ke? Mesti dia yang punya angkara!
Terasa darahku menggelegak tiba-tiba. Perasaan malu yang membelenggu jiwaku sebentar tadi, terpadam serta-merta dibakar api kemarahan. Aku merenungnya tajam. Lebih tajam daripada pandangannya padaku pagi tadi. Seandainya mataku ini ada laser, dah tembus biji mata dia agaknya. Matanya juga merenungku. Tapi tak setajam renungannya pagi tadi.
Dia seolah-olah ingin berkata sesuatu. Kawannya di sebelah yang kukira berbangsa African membatu disisinya.
“Didn’t you see where you’re going???!!! Next time, if you wanna go out… please, put your glasses on. It could be a real help for someone who’s longsighted as you!” aku bersuara lantang. Sengaja aku berbahasa Inggeris. Biar satu cafeteria dengar, aku tak kisah.
Tahap amarahku yang meninggi tatkala ini, menghalang pemikiranku dari berfikir secara logik. Berfikir tentang segala kemungkinan lain yang mungkin mencetuskan kejadian ‘perlanggaran’ tadi. Hatiku kuat mengatakan, dia sengaja mencari pasal. Aku yakin, dia memang ingin membalas dendam!
Mukanya menjadi merah padam. Barangkali malu dimarah begitu dihadapan orang ramai. Barangkali jua kerana amarah. Aku terdengar dia mendengus kasar.
“I’m sorry,” ucapnya. Suaranya tika menuturkan sebaris ayat itu amat kasar. Seperti dalam terpaksa. Aku pura-pura tidak mendengar.
Cepat-cepat aku mengutip tray dan burger di atas lantai. Sebelum berlalu ke meja makan, aku berpaling semula ke arahnya yang mula melangkah pergi. Sinis aku berkata,
“Lain kali mata tu letak kat atas, bukannya kat lutut. Faham?” Sengaja aku memulangkan ayat itu padanya.
Dia berhenti seketika. Berpaling menghadapku. Tetapi kawannya cepat-cepat menarik tangannya agar beredar dari situ tanpa sempat dia berkata apa-apa.
Aku turut melangkah ke meja yang sedia menanti. Miss Snooty ni takkan nak suruh aku tambah satu lagi gelaran pada dia kot? Fikirku sambil menggelengkan kepala. Tak percaya dengan sikap Miss Snooty dan juga nasib malang yang menimpa ke atasku secara berturut-turut pada hari ini.
little chit-chat :
salam Maulidur Rasul untuk semua…
