“Assalamualaikum!”
Pang! Bunyi pintu ditutup seakan-akan bisa merobohkan rumah. Terhentak-hentak kakiku melangkah ke dalam rumah. Setiap hentakan langkah bagaikan mengandungi bom atom yang kukeluarkan dari tubuh. Marah masih bersisa. Beg kertas dan hadiah sebotol lalat telah aku sedekahkan pada tong sampah ketika dalam perjalanan pulang.
“Woi! Kau nak bagi runtuh rumah ke?” suara Fariza menyapa ke telinga. Dia sedang menonton tv bersama Kak Syima dan Kak Ayu. Nasib baik Miss Snooty tak ada. Kalau tak, lagi bertambah-tambah menggelegak api kat dalam hati aku.
Aku menghempaskan tubuh di sofa. Bersebelahan dengan Kak Syima. Api amarah yang membara, cuba ku padamkan dengan kata-kata rasional. Selidik dahulu sebelum menuduh. Entah betul entah tak dia yang bagi - walaupun hatiku yakin pemberinya memang Miss Snooty. Pedulikan dia. Tenangkan hati. Relaks. Cool down.
“Jumpa dengan girl tu? Apa yang penting sangat dia nak jumpa kau?” Belum sempat suhu marahku menurun, Fariza menyoal. Dia menoleh ke arahku. Inginkan jawapan. Agaknya dari petang tadi, dia pun tertanya-tanya tentang tujuan mysterious women itu.
“Huh!” Aku mendengus kasar. Terasa amarah kembali menguasai hati dan fikiran. Tenang Hani, aku cuba menenangkan diri.
Mendengarkan dengusanku, pantas Kak Syima bertanya, “Hani, kenapa?” Tangannya diletakkan di pahaku. Untuk meminta perhatianku barangkali. Aku menoleh ke arahnya.
“Dia tak datang.” Ringkas jawapanku seraya kembali memandang ke hadapan semula. Malas nak bercerita. Nak buat apa? Buat menambahkan sakit hati, adalah, ngomel hatiku.
Aku cuba memusatkan perhatianku pada kaca tv. Namun, hampa. Fikiranku asyik melayang mengingati kejadian petang tadi. Wajah selamba perempuan yang ‘entah apa namanya’ itu dan Miss Snooty menari-nari di ingatan seakan mengejekku. Aku menggeleng kepala perlahan, cuba mengusir bayangan itu dari minda.
“Patutlah macam nak runtuh rumah ni,” ujar Fariza sambil ketawa. “Orang yang dinanti, tak datang.”
Ah Iza, andai kau tahu betapa panasnya hatiku saat ini, tentu kau takkan ketawa begitu…
“Yalah… penat aku duduk kat situ. Kebas punggung tau duduk lama-lama. Kalau seat sofa, tak per gak. Ni bench. Mau tak sakit hati.” Aku menyahut juga kata-katanya tadi dengan wajah kelat. Sebagai membuktikan padanya sebab-musabab dan kenapa aku perlu berasa marah.
Aku tak berniat untuk menipu mereka. Di hatiku, seboleh-bolehnya aku tidak mahu mereka ikut masuk campur dalam hal aku dan Miss Snooty. Biarlah apa yang terjadi di antara kami, hanya kami berdua yang mengetahuinya. Bagiku, lebih baik begitu.
“Tak baik marah-marah. Orang tu ada hal agaknya,” Kak Ayu yang diam dari tadi, bersuara. Nampaknya, dia juga ingin berusaha untuk menenangkan hatiku.
“Lah… tu,” tiba-tiba Kak Syima bersuara sambil mengunjukkan sesuatu di siling yang berwarna putih. Serius saja lagaknya.
Aku terpinga-pinga lalu memandang arah yang ditunjukkan. Ligat anak mataku mencari-cari benda yang dimaksudkan. Seluruh ruang siling yang terbentang di hadapan mata, aku amati. Namun tiada apa-apa yang berjaya ‘ditangkap’ oleh anak mata hitamku.
Fariza dan Kak Ayu turut memerhatikan kawasan siling yang menjadi sasaran jari telunjuk Kak Syima. Seperti aku, mereka juga tidak bertemu dengan benda yang dimaksudkannya. Kedua-dua saling mengangkat bahu, seolah-olah tidak mengerti.
“Apa benda?” tanyaku pada Kak Syima di sebelah setelah aku pasti tiada apa-apa di situ.
“Tu…” unjuknya lagi.
Ada kerutan di dahiku. Apa sebenarnya yang Kak Syima ingin tunjukkan? Sekali lagi, aku meliarkan pandangan di siling. Masih tiada apa-apa. Perasaan hairan tercetus di hatiku.
Kemudian, tanpa disangka-sangka, Fariza dan Kak Ayu masing-masing menghamburkan tawa. Secepat kilat, aku melabuhkan perhatianku pada mereka berdua. Tanpa suara, aku memberikan isyarat wajah. Meminta mereka berkongsi jawapan yang telah mereka temui. Malangnya, mereka berpura-pura tidak memahami maksud isyaratku dan terus menghamburkan tawa tanpa henti.
“Iza? Kak Ayu?” Aku menyebut nama mereka berdua satu-persatu. Sebagai tanda yang aku mendambakan jawapan.
“Hani jangan tengok siling tu…” Kak Ayu bersuara dalam sisa tawanya.
“Habis tu, nak tengok apa?” Dengan riak penuh kehairanan aku bertanya.
“Kau tengoklah tangan Kak Syima,” ujar Fariza. Ketawanya yang hampir surut kembali bergema.
Serta-merta, aku menarik tangan Kak Syima yang masih mengarah pada siling. Dan tahulah aku, rupa-rupanya aku telah terkena saat jari-jemarinya menjadi tatapanku. ‘Tu’ yang dimaksudkannya itu bukanlah merujuk kepada apa jua benda yang berada di siling, tetapi pada anak jarinya yang menunjukkan bilangan dua. Ibu jari, jari manis dan jari kelingkingnya tertutup rapat manakala jari telunjuk dan jari hantunya berada dalam keadaan terbuka ketika dia mengangkat tangan tadi.
Aku tersenyum lebar akhirnya. Sebuah senyuman turut terhias di wajah Kak Syima tatkala aku menatap wajahnya.
Ketika itu juga, aku diserang rasa terharu. Aku tahu, punca Kak Syima berbuat begitu tadi adalah untuk mengurangkan perasaan marah yang menguasai hatiku sekaligus menenangkan hatiku yang sedikit bergolak.
Kami berbalas senyuman buat seketika. Dan sinar matanya jelas menggambarkan kelegaan hatinya kerana aku sudah mampu tersenyum.
“Hani dah makan ke belum?” soal Kak Syima setelah beberapa detik berlalu.
Pantas aku menggeleng. Baru aku teringat, perutku hanya diisi dengan apple pie tadi. Aku tak pulak terasa lapar. Mana nak rasa lapar bila hati berapi aje, kataku pada diri sendiri.
“Akak ada simpan sikit makanan untuk Hani. Pergilah makan,” arah Kak Syima lembut.
“Sikit aje? Sampai hati akak.” Aku berpura-pura terkilan. Sengaja nak mengenakan dirinya pula.
Tangannya menepuk lenganku perlahan. “Ish… takkanlah akak nak simpan sejemput jer untuk Hani. Daripada simpan sejemput, baik tak payah simpan langsung. Saja Hani nak kenakan akak, kan?” soal Kak Syima dengan senyuman kecil.
Aku ketawa kecil mendengar kata-katanya.
“Kejap lagilah makan. Hani nak masuk bilik kejap. Terima kasih kak sebab simpan makanan untuk Hani,” ucapku. Lantas aku bangun meninggalkan mereka. Lega sedikit perasanku kini.
Sebelum melangkah pergi, aku sempat bertanya, “Lynn ada kat bilik ke?”
“Dia keluar tadi. Katanya ada kerja sikit. Malam nanti baru balik.” Jawapan Kak Ayu benar-benar membuatkan perasaan legaku menjadi berganda-ganda. Sekurang-kurangnya aku tak perlu berdepan dengan dia di saat ini. Mana tahu, kiranya perasaan amarahku ini kembali menggelegak apabila terpandang wajahnya. Takut nanti tak pasal-pasal ada WWE Smackdown ‘live’ kat rumah ni!
Beberapa langkah berjalan, aku berpaling semula.
“Tadi aku tengok kau gigih benar buat assignment, Iza. Dah habis ke? Relaks aje.” Hairan aku. Tadi nak jawab soalan aku pun payah benar. Tekun sangat buat assignment. Sekarang boleh pulak lepak tengok tv.
“Dah beres…” sahutnya dalam nada ceria.
