Siap! Aku tersenyum puas hati.
Kedengaran gelak-ketawa dari ruang tamu. Gamat! Segera aku beredar dari bilik. Ingin berkongsi apa jua cerita menarik yang mereka bualkan. Aku mengambil tempat di atas lantai. Pandanganku tidak kuhalakan pada Miss Snooty.
Sejak kejadian botol lalat seminggu yang lalu, aku semakin berusaha menggelakkan diri darinya. Amarahku kadang-kala akan timbul semula di kala aku teringatkan kejadian itu. Setiap hari aku cuba bersikap tenang apabila berhadapan dengannya. Berusaha mengawal emosi dan amarahku.
Tidak pula aku tanyakan perihal kejadian itu padanya. Bertanya adakah dia orangnya yang telah bersusah payah menghadiahkan botol lalat itu. Tapi aku yakin dia orangnya. Dia juga seakan-akan cuba menggelakkan diri dariku. Mungkin dia juga seperti aku, tidak mahu membuat kecoh di dalam rumah. Setakat ini, boleh dikira berapa patah perkataan yang pernah terkeluar dari bibir kami.
Malam ini, aku mempunyai rancangan sendiri. Ada sesuatu yang bersemadi di benakku. Dan aku harus melaksanakannya.
“Apa kata malam ni kita cerita kisah seram,” usulku pada mereka.
Mata masing-masing terbeliak. Kak Suzi sempat melihat jam di dinding. 10.30 malam. Aku agak mereka mungkin kurang bersetuju dengan cadanganku. Kelihatan ada riak was-was di wajah masing-masing.
“Awal lagi. Esokkan cuti. Tidur lambat pun tak apa. Bila lagi nak rasa suasana macam ni. Hari-hari kisah happy jer. Boring tau!” Aku menambah. Cuba untuk memujuk mereka agar bersetuju.
“Ok gak.” Fariza bersuara menyatakan persetujuannya.
“Ok.” Kak Syima turut bersetuju.
Kak Ayu dan Kak Suzi hanya menganggukkan kepala. Miss Snooty mengangguk tidak, menggeleng pun tidak. Entah apa yang dia fikirkan agaknya. Takkan takut kot! Selama ni berani aje, desisku di dalam hati.
“Lynn?” Namanya dipanggil Kak Syima. Bagaikan memahami maksud panggilan, terus sahaja dia menganggukkan kepalanya. Rambutnya yang hitam pekat separas bahu turut bergoyang mengikut rentak kepalanya.
"Siapa nak cerita dulu?” aku menyoal.
Kak Ayu pantas menjawab, “Kak Suzi. Dia ada banyak cerita seram.”
Kak Suzi mendiamkan diri buat beberapa ketika. Kemudian dia mula bercerita.
“Angah akak dulu pernah kena kacau masa on the way ke KL.” Dia berfikir-fikir sebentar. “Dia and dua orang member. Memandangkan waktu siang panas, diaorang decide nak bertolak malam. Diaorang pergi dengan kereta ikut highway. Sampai dekat area Kuala Kangsar, dia perasan ada something wrong dengan member dia yang duduk di sebelah. Masa tu jam dah pukul dua pagi.”
Aku bergerak sedikit ke hadapan. Merapatkan diri kepada Kak Ayu yang duduk terkehadapan sedikit.
“Member dia senyap aje. Sepatah pun tak bercakap. Hairan jugak dia. Then, dia notice ada sesuatu sedang berlegar-legar di sekeliling kereta yang dia bawak. Tapi tak jelas benda apa sebab masa tu kereta tengah bergerak. Member kat belakang pulak, buat hal sendiri. Tiba-tiba aje... member kat sebelah menangis. Terkejut dia. Sah ada sesuatu. Apalagi, dia pandu lagi laju kereta tu. Nak sampai ke tempat yang ada orang. Nak mintak pertolongan. Sempat jugak dia suruh member kat belakang, baca apa-apa yang patut. Disuruhnya member yang kat sebelah tu, ikut dia mengaji sekali. Member sebelah buat tak dengar aje. Terus-terusan dia menangis.”
Terasa bulu romaku meremang mendengar cerita Kak Suzi.
"Tiba di stop PLUS yang berikutnya, nasib baik ada seorang Pak Haji dan anak buahnya sudi menolong. Kata Pak Haji, member angah ni kena kacau. Dia suruh angah ikut dia balik ke rumahnya, nak ubatkan member angah tulah. Rupa-rupanya bukan satu, tapi berbelas-belas ‘han’ yang kacau member angah. ‘Han-han’ ni pulak tak nak keluar pada mulanya. Puas Pak Haji berlawan, barulah benda-benda tu keluar. Sampai sekarang, member angah still tak boleh diubati sepenuhnya.” Kak Suzi mengakhiri ceritanya. Dia mengeluh pendek kemudiannya. Mungkin dia masih teringatkan member kepada angahnya.
“Seram!” Sepatah perkataan itu tercetus dari bibir Kak Ayu. Bahuku dipeluknya sekejap. Membuang rasa seram mungkin.
“Turn siapa nak cerita pulak?” Fariza menyoal.
“Hani pulak lah. Dia yang cadangkan tadi,” jawap Kak Syima. Aku tersengih. Aku tak kisah, kalau itu permintaannya. Nafas ku tarik panjang. Sebagai bekalan untuk bercerita. Agar tak semput.
“Kisah yang Hani nak ceritakan, terjadi almost three and a half years ago.” Aku mengimbas kembali detik-detik semasa kejadian itu terjadi. “Member Hani kena hysteria ketika kami pergi berkursus. Benda tu jadik depan mata Hani dan kawan-kawan. Jenuh ustaz berusaha nak pulihkan dia. Lepas dipulihkan, dia cerita pada Hani dan kawan-kawan macam mana dia terkena. Time tu, dia dalam perjalanan nak balik ke rumah selepas dia call boyfriendnya. Tiba-tiba ada orang bagi salam. Dia jawab. Ingatkan orang, toleh muka aje, makhluk lain menyapa. Makhluk tu tinggi, tinggi sangat-sangat. Jenuh dia mendongak nak tengok rupa, tapi tak nampak.”
Aku berhenti seketika. Buah epal kucapai lalu disuapkan ke mulut.
“Makhluk tu tanya member Hani, nak ikut dia balik tak. Pergi tempat makhluk tu ler. Member Hani cakap tak nak. Terus member Hani tinggalkan dia, balik ke tempat kami tinggal. Malangnya dia ikut member Hani balik sambil berusaha memujuk. Sampai di hostel, member Hani nak solat, dia pergi ambil wuduk. Tapi, dia tak boleh nak ambil. Hatinya rasa berat sangat. Dia toleh ke sisi, dia nampak di sebelah…”
“Fariza! Better kau pergi tutup lampu. Baru ada feel!” jeritku pada Fariza. Tersentak dia. Pucat lesi wajahnya. Pecah tawaku melihat reaksinya.
“Buat suspens betullah kau ni! Kalau aku ada sakit jantung, dah lama k.o,” ujarnya geram. Bantal di atas riba, dibalingkan ke arahku. Dengan ketawa yang masih bersisa, aku menyambut bantal itu. Aku letakkan di atas ribaku pula.
“Tak payah tutup lampu. Malam karang, tak boleh tidur pulak.” Bantah Kak Suzi. “Sambunglah cerita.”
Lantas aku menyambung cerita yang tergendala sebentar tadi.
“Makhluk tu berdiri di sebelah dia. Member Hani halau dia keluar tapi dia tak nak. Dia nak ikut member Hani jugak. Akhirnya, member Hani give-up. Dia nak masuk tidur. Dia biarkan makhluk tu kat situ. Sewaktu member Hani melangkah masuk ke dalam dorm, dia nampak makhluk tu masuk ikut dinding hostel. Bayangkan… meresap ikut dinding. Dengan tinggi nyer, berbaju putih pulak tu. Seram!” Sengaja aku mengajak mereka bersama-sama membayangkan keadaan itu.
“Makhluk tu masih lagi mengajak member Hani ikut dia. Sampai akhirnya member Hani sendiri tak sedar bila masanya dia menjerit. Dia langsung tak ingat apa yang terjadi lepas tu. Keesokannya, cikgu terpaksa bawa dia balik dulu. Keadaan dia sekarang, sama seperti member Angah Kak Suzi… tak boleh nak diubati. Walaupun dah merata tempat emak dia bawa berubat.”
Aku melepaskan nafas. Selesai cerita aku. Mereka yang mendengar bagaikan masih terpukau dengan cerita tadi. Diam tak bersuara, walhal cerita dah tamat.
“Siapa lepas ni?” pertanyaanku membawa mereka ke alam realiti semula.
“Kak Syima,” Fariza memberitahu. Bantal yang berada di ribaanku, ditarik. Aku membiarkan. Bantal dia, biarlah…
“Kat kampong akak, ada kubur di tepi jalan. Selalu orang terserempak ‘mak pon’ bertenggek kat atas pokok kepala, bila waktu tengah malam. Eiii… takut!” kata Kak Syima sambil mengangkat kedua-dua bahunya seolah-olah dalam ketakutan.
Miss Snooty yang mendiamkan diri sedari tadi, tiba-tiba sahaja berdiri. Perbuatannya itu amat mengejutkan kami semua. Kering darahku buat seketika. Takkan dia kena samput kot? Benakku bertanya. Hatiku berdebar serta-merta.
“Lynn nak masuk tidur,” ujarnya ringkas. Terus dia menapak pergi. Mendengar perkataan ‘nak masuk tidur’, aku merasa excited. Something’s about to happen… kataku dalam hati. Penantian selama seminggu akan berakhir pada malam ini.
“Aaaaaaaaaaa……” jeritan suara Miss Snooty memenuhi ruang rumah. Nampaknya cerita seram memberikan impak yang amat berkesan. Senyuman meletus di dalam hati. Mereka yang lain terpinga-pinga seketika sebelum mereka berpusu-pusu berlari ke bilikku. Wajah masing-masing mengandungi seribu pertanyaan.
Orang terakhir tiba adalah aku. Kelihatan Kak Ayu dan Kak Syima sedang menenangkan Miss Snooty yang terduduk di atas lantai. Kulit mukanya pucat lesi. Kalau ditoreh, pasti tak berdarah. Dan badannya menggeletar. Jelas dia di dalam keadaan terkejut dan ketakutan.
“Apa yang terjadi?” soalku dengan penuh kebimbangan. Penuh kepura-puraan. Padahal aku dah boleh agak apa yang terjadi.
“Agaknya dia terkejut tengok telekung tu.” Kak Syima bersuara sambil mulutnya dimuncungkan ke arah telekung di tingkap. “Akak pun tadi terkejut. Ingatkan hantu.”
Tiada cahaya lampu tika Miss Snooty masuk ke bilik. Yang ada hanyalah simbahan lampu jalan yang terbias masuk. Sudah semestinya telekung yang tergantung tinggi di tingkap bilik akan kelihatan seperti makhluk ghaib. Ditambah pula dengan angin yang bertiup perlahan, pasti membuatkan telekung terhayun-hayun sedikit. Siapa yang tak takut?
“Telekung Hani ke?” soal Kak Ayu padaku.
Aku mengangguk.
“Hani gantung telekung kat tingkap sebab nak bagi kena angin. Basah sikit telekung tu tadi,” jelasku dengan riak penuh innocent. Hakikatnya, memang aku sengaja buat begitu. Nak balas balik hadiah yang aku terima seminggu yang lepas. Dan mereka seperti tidak mengesyaki apa-apa.
Kak Ayu memapah Miss Snooty duduk di birai katil. Kak Syima mengambil tempat di sebelah yang lagi satu. Manakala Kak Suzi dan Fariza berdiri mengelilingi Miss Snooty. Aku? Dengan berwajah seolah-olah tidak tahu apa-apa, mengambil tempat di atas katilku sendiri. Berhadapan dengan Miss Snooty.
Bermacam-macam nasihat dan kata-kata diucapkan oleh kakak-kakakku itu pada Miss Snooty. Semuanya untuk memulihkan semangat Miss Snooty yang hilang. Fariza dan aku hanya mendiamkan diri. Dan sehinggalah Miss Snooty tidur lena di atas katil, barulah mereka berganjak dari bilikku. Sebelum pergi, sempat Kak Ayu meminta aku menjaga dan mengawasi Miss Snooty. Bila diminta berbuat begitu, aku tak pasti aku mampu melakukannya atau tidak. Setakat tengok tanpa perlu bercakap atau menyentuhnya, mungkin boleh kot!
Dalam kegelapan malam, aku berfikir-fikir tentang apa yang telah aku lakukan pada roommateku itu. Gembirakah aku berbuat begitu? Pada mulanya aku akui, ya. Tetapi untuk sejam selepas itu, hatiku tak tenteram. Perasaan bersalah timbul di hati.
Ketakutan di wajahnya masih terbayang-bayang di layar ingatanku. Mungkin cara aku membalas dendam dah terlampau over. Tak setimpal dengan apa yang dia buat padaku. Melampaukah perbuatanku itu?
little chit-chat :
kedua2 cite ‘han’ di atas, happened in real life. Salah satunya – cite Hani, benar2 terjadi di depan mata sy masa high school dulu. kdg2 sy boleh terdgr2 lg betapa ‘nyaring’nya jeritan teman sy tu. Seram!!!
