“Hani.” Namaku dipanggil oleh Kak Ayu. Dia berjalan pantas ke arahku.
Lynn yang sedang berdiri setelah aku memanggilnya, memandang wajah Kak Ayu dengan perasaan yang sukar aku tafsirkan. Serasaku dia menyedari situasi yang berlaku sekarang. Dan memahami apa yang ingin aku katakan padanya.
“Hani, Lynn! Kitchen. Now,” tegas Kak Ayu sebelum sempat aku meledakkan peluru berisi ayat-ayatku. Seraya itu, Kak Ayu menarik tanganku ke arah dapur. Aku hanya menurut. Akalku menahan perasaan dari menghamburkan segala-galanya di ruang tamu. Lynn mengekori dari belakang. Kak Syima, Kak Suzi dan Fariza menghantar pemergian kami dengan pandangan penuh tanda tanya. Tiada sesiapa di antara mereka yang berani bertanya apa-apa.
“Duduk,” arah Kak Ayu. Kami mengambil tempat masing-masing. Dia di hujung meja sebelah kanan dan aku di hujung meja sebelah kiri. Aku tak ingin berada dekat dengannya. Auranya bisa menaikkan darjah kepanasan hatiku. Pandangan mataku berlabuh di wajahnya. Merenungnya tajam.
“Awak tuduh saya ambil diari awak?” Meluncur laju ayat pertanyaan itu keluar. Tanpa mukadimah, tanpa pembuka kata. Ah… buat apa pembuka kata atau mukadimah, aku bukannya nak bersyarah atau berceramah. Tak perlu bersusah-payah menyusun kata.
“Sabar Hani. Masalah takkan selesai dengan bertekak. Sebaik-baiknya kita berbincang.” Kak Ayu menegur. Dia melabuhkan punggung di kerusi makan di antara kami berdua.
Aku cuba beristighfar di dalam hati. Mengurangkan amarah yang menggelegak di dalam kawah hatiku. Betul apa kata Kak Ayu, masalah takkan selesai dengan bertekak. Aku melarikan pandangan mata dari wajah Lynn. Moga-moga dengan berbuat begitu, suhu amarahku kembali menurun.
“Sebelum kita berbincang, akak nak cakap sikit… Dari pandangan mata akak, Lynn seorang yang baik, Hani pun sama. Korang berdua boleh bermesra, bergembira dan bergurau-senda dengan akak dan housemate lain. Tapi akak tak faham kenapa korang berdua tak boleh buat begitu between the two of you. Takkan kerana tragedi ‘pelanggaran’ dulu, korang simpan perasaan sampai sekarang? Benda tu remeh. Sepatutnya dilupakan time tu jugak. Sekarang? Benda kecil tu dah meleret-leret sampai begini. Akak tak suka ada pergaduhan dalam rumah ni.” Panjang lebar Kak Ayu berucap.
Riak muka Lynn telah berubah. Firasatku, mungkin dia tidak menyangka Kak Ayu mengetahui segala-galanya yang berlaku antara kami.
“Lynn, Hani dah ceritakan semuanya sewaktu Lynn demam. Dia dah mengaku kesalahannya. Dan dia beritahu akak, dia akan minta maaf pada Lynn. Akak ingatkan lepas kejadian tu, korang akan berbaik semula, sebab itu akak tak masuk campur. Akak nak korang settle sendiri. Malangnya, bertambah teruk,” sambung Kak Ayu lagi.
“Hani ada minta maaf pada Lynn?” Soalan Kak Ayu mengejutkan aku. Takkan dia tak percaya padaku? Soalku di dalam hati.
Aku tidak menjawab. Hanya anggukan kepala menjadi jawapan.
Seketika kemudian, aku bersuara, “Tapi Lynn tak pernah nak maafkan Hani.” Bukan niatku untuk mengadu, tapi itulah hakikatnya. Selama ini aku yang berusaha memulihkan hubungan kami. Dia tak pernah memberikan sebarang respon.
“Mana awak tahu, saya tak maafkan awak? Ada saya cakap begitu?” soal Lynn padaku. Nadanya sedikit keras.
"Berkali-kali saya minta maaf, awak buat tak tahu saja. Malah bila saya tegur, awak tak hirau. Macam tu ke awak maafkan saya?” balasku kembali. Suaraku senada dengannya.
“Oh… jadi sebab itu, awak curi diari saya? Sebab saya tak maafkan awak?” tuduhnya.
Mataku mencerlang memandang wajahnya. Akhirnya, terburai niatnya yang satu. Memang dari awal, dia menuduh aku mencuri diarinya!
“Apa bukti awak?” Aku bertanya lantang.
“Kalau dah tak ada, ke mana perginya? Bukan ada orang lain dalam bilik tu…” balasnya sinis.
Sakitnya hati…
“Manalah saya tahu. Diari awak. Bukannya diari saya!”
Suasana semakin tegang. Buat beberapa saat, kami mendiamkan diri. Mengawal perasaan masing-masing. Kak Ayu bagaikan kehilangan punca untuk meleraikan persengketaan antara kami berdua. Diurut pelipisnya beberapa kali. Terdetik perasaan simpati di hatiku. Tak semena-mena dia terheret sama dalam kancah permasalahan kami.
“Lagipun apa gunanya diari tu pada Hani?” Soalku dengan suara yang sedikit mengendur. Agar keadaan tidak bertambah kusut.
“First, sebab nak balas dendam. Exactly the same seperti kes telekung. Second, mungkin awak nak tahu apa perancangan saya supaya mudah awak nak rancang prank baru.” Pandainya Lynn berhujah. Nak tercabut telinga aku mendengarnya. Dia fikir aku ni segila itu? Nak mencuri diari dia semata-mata nak tahu perancangannya? Hanya orang yang tak ada kerja atau sasau aja yang sanggup buat kerja tak berfaedah macam tu. Aku ada banyak lagi kerja lain yang boleh dibuat.
“For your information, saya dah muak dengan kes balas-membalas dendam ni. Saya dah retired. Dah letak jawatan. Dah give-up. Second, saya lebih rela membaca novel France yang saya tak faham bahasanya tu daripada membaca diari awak!” Aku menyanggah kata-katanya. Mudahnya dia membuat andaian sendiri. Ingat dia tu pewaris cucu pak belalang? Boleh main ramal-ramal?
“Hani, please pulangkan diari saya. Saya merayu. Diari tu means so much to me. Saya janji akan maafkan awak, kalau awak pulangkan…” Lynn merayu. Terkejut beruk aku dibuatnya. Suara yang keras sebentar tadi bertukar menjadi lemah lembut. Cair siapa yang mendengarnya. Begitu halus dan tulus. Dan sekaligus, mencerminkan aku betul-betul mencuri diarinya. Oh tidak! Filem apa yang Lynn cuba lakonkan sebenarnya? Dan kenapa mesti aku yang menjadi pelakon tambahannya? Tiada orang lain lagikah? Pening kepala aku memikirkan karenahnya. Sakit hati apatah lagi…
“Saya tak ambil diari awak.” Kataku ringkas dan tegas.
Mendengar kata-kataku, Lynn seakan-akan mahu menangis. Ya ALLAH… dia benar-benar serius mahu mengenakan aku sekaligus memburukkan namaku.
“Hani, pulangkan lah… Hani pun tahu kan apa rasanya kalau orang baca diari Hani?” Kak Ayu yang dari tadi menjadi pendengar dan pemerhati tidak bertauliah, bersuara. Aku tak menyangka Kak Ayu percaya dengan tuduhan Lynn. Perlahan aku menggelengkan kepala bagaikan tidak percaya. Sebak menjerut jiwa bila dituduh atas kesalahan yang tidak aku lakukan. Lantas aku berdiri.
“Kak Ayu, buat kali terakhir… Hani beritahu akak, Hani tak ambil diari Lynn. Hani tak ambil diari dia…” luahku dengan suara bergetar. Dengan itu aku berlari keluar dari dapur, menuju ke pintu utama rumah. Suara Kak Ayu yang menjerit memanggil namaku, tidak aku endahkan.
