SUASANA di kafeteria sibuk dan riuh-rendah dengan suara-suara pelajar yang datang untuk menjamu selera. Aku meliarkan pandangan ke segenap ruang, mencari meja makan kosong. Tertancap mataku pada meja yang terletak di tepi tingkap. Pantas aku mengajak Rohana dan Norlida duduk di situ. Masing-masing meletakkan buku dan beg di atas meja.
“Aku nak gi order. Korang nak makan apa?” Aku menawarkan diri membeli makanan.
“Nasi goreng and orange juice.”
“Bihun sup plus sirap.”
Aku mengatur langkah ke kaunter pesanan. Diluahkan pesanan kepada pelayan yang bertugas lalu terus aku membuat bayaran di cashier. Kemudian aku menapak kembali ke meja makan. Tanpa berlengah, makanan yang terhidang terus dijamah. Disamping menjamu selera, kami berbincang mengenai tugasan yang baru diterima sebentar tadi.
Dalam asyik berbincang, telefon bimbitku berbunyi. Pantas diselongkar beg galas yang berada di atas kerusi. Telefon bimbit dicapai dan dikeluarkan. Nombor yang tertera di skrin telefon aku amati.
“Hello,” sapaku kehairanan. Nombor telefon itu tidak pernah didaftarkan didalam phonebookku. Siapakah gerangan si pemanggil?
“Har? Uncle Johan ni.” Si pemanggil mengenalkan dirinya tanpa perlu aku bertanya. Seolah-olah dia dapat membaca fikiranku.
“Siapa?” Sikapku yang teragak-agak untuk menjawab panggilan membuatkan Rohana bertanya.
“Ayah Zafir.” Dengan suara berbisik aku menjawab. Tidak mahu Uncle Johan terdengar. Bagaikan mengerti, Rohana meneruskan perbincangannya bersama Norlida. Aku kembali memusatkan perhatianku pada Uncle Johan.
“Ya, Har cakap. Kenapa uncle? Ada apa yang boleh Har bantu?” soalku dengan lemah lembut. Bakal ayah mertua, kenalah berlemah-lembut sedikit, bisikku bersama sebuah senyuman kecil di dalam hati. Sememangnya Uncle Johan telah mengetahui tentang hubungan aku dan Zafir. Sudah kerapkali aku bertemu dengan keluarga buah hatiku itu. Malah keluargaku juga turut mengetahuinya. Zafir pernah berkata, lebih baik jika hubungan kami diketahui kedua-dua keluarga, sekurang-kurangnya mereka tahu dengan siapa aku berkawan. Katanya lagi, dengan berbuat begitu, bermakna dia serius dengan perhubungan kami.
“Zafir. Dia pengsan kat pejabat. Sekarang ni ada kat HKL. Ada sesiapa beritahu Har tak?”
“Pengsan?” Ulangku agak kuat. Lututku terasa lemah tiba-tiba. Nasib baik tidak berdiri, kalau tidak, sudah lama agaknya aku terduduk di lantai kafeteria. Serta-merta dadaku berdebar. Apa yang dah terjadi?
Serentak itu juga, Norlida dan Rohana berpaling memandangku. Wajah masing-masing berkerut, penuh dengan tanda tanya. Perbincangan mereka yang rancak sebentar tadi terhenti.
“Bagaimana keadaan dia sekarang? Dah sedar ke, uncle?” Rasa cemas mula menguasai diri. Aku perlu tahu keadaan Zafir.
“Uncle on the way nak ke sana. Tak tahu lagi keadaan dia macam mana.” Uncle Johan bersuara tenang. Mungkin Zafir tak seteruk yang disangka, desisku di dalam hati.
“Thanks uncle kerana beritahu. Har akan ke sana as soon as possible. Jumpa di sana.”
“Okey. Uncle tunggu. Assalamualaikum.”
“Waalaikummussalam.” Segera talian kumatikan. Sepantas kilat, buku-buku dan barang-barang di atas meja, dikemas. Aku perlu ke hospital segera. Keadaan Zafir perlu diketahui.
“Kenapa Dina? Siapa yang sakit?” tanya Norlida tidak sabar. Mungkin reaksiku membuatkan dia tertanya-tanya. Rohana yang duduk di hadapan Norlida hanya menanti aku berkata sesuatu.
“Zafir. Dia pengsan kat office, sekarang ada kat HKL. Aku nak pergi tengok keadaan dia,” ujarku pantas tanpa memandang wajah Norlida ataupun Rohana. Beg sandang di galas ke bahu.
“Pergilah, Aku rasa, Zafir tak apa-apa kot. Kau jangan risau sangat.” Rohana cuba menenangkan perasaanku. Dia tak mahu aku terlalu risau agaknya. Yalah… macam-macam perkara boleh terjadi kalau fikiran tak tenang. Takutnya nanti, Zafir tak apa-apa, aku yang teruk.
“Aku pun harap macam tu,” Aku berkata. Hatiku kuat mengatakan Zafir hanya mengalami sakit biasa. Bukannya sakit teruk. Dengan tergesa-gesa, aku bergegas ke arah pintu keluar kafeteria, melintasi bangunan kuliah dan terus meninggalkan perkarangan universiti.
