Ternyata Lynn mengotakan janjinya. Apa yang dilafazkan bukan sekadar omongan kosong. Empat hari berturut-turut, telingaku tidak pernah lekang dari mendengar kata-kata maaf. Semalam, dia meletakkan sekeping sampul surat pink berisi kad yang tertulis ‘I’m sorry’ di atas meja studyku. Dia benar-benar berhempas-pulas ingin aku memaafkannya. Aku dulu pun tidaklah segigih dia.
Sedikit pun, aku tidak memberikan tindak balas di atas usahanya itu. Reaksiku pH neutral. Keasidan tidak, kealkalian pun tidak. Walaupun pada hakikatnya, hatiku nan satu ini sudah pun lembut. Biasalah, bak kata orang, hati perempuan umpama kerak nasi. Lambat-laun akan lembut juga.
Tetapi aku saja nak tunjuk ego. Ingin menduga sejauh mana dia sanggup berusaha. Bukan senang nak jumpa perempuan yang sanggup memujuk perempuan lain sampai begini. Siap dengan kad sekali. Kalau lelaki nak pujuk perempuan, tak usah cakaplah… dah naik lali mata ni menengok.
Hari ini, kelas tamat lebih awal dari hari biasa. Kata prof, dia mempunyai urusan yang perlu dibereskan. Ramai student yang seronok menerima khabar berita itu. Riak wajah masing-masing penuh dengan keceriaan apabila melangkah keluar dari kelas. Itu bagi mereka, tetapi aku tidak.
Kebetulan hari ini, Fariza terpaksa pulang lewat ke rumah. Dia perlu berjumpa dengan coursematenya untuk menyiapkan kerja berkumpulan mereka. Kak Syima dan Kak Suzi hanya akan habis kelas pada pukul 6 nanti. Kak Ayu pula, katanya semalam, nak ke rumah kawan petang ni. Dan mungkin akan bermalam di sana.
Apa yang aku nak buat kalau balik rumah sekarang? Mesti bosan, tak ada sesiapa di rumah. Aku melihat jam tangan seimbas lalu. Baru pukul 3 petang. Nak menapak ke library, semangat untuk study tiada. Buang masa saja kalau pergi pun…
Akhirnya, aku mengambil keputusan untuk berjalan-jalan di bandar berdekatan. Untuk mencuci mata. Untung-untung ada barang menarik yang boleh dibeli. Lagipun, rasanya dah lama aku tak bershopping. Masa mula-mula menjejakkan kaki dulu ada juga aku ke sana. Tapi sejak kebelakangan ini dah jarang. Semenjak diri sering dirantai dengan assignment yang menimbun.
Aku membawa langkah kaki menyusuri deretan kedai-kedai yang tersergam indah di sepanjang kiri dan kanan jalan utama di dalam bandar itu. Sudah dua tiga kedai aku lewati, namun tiada satu pun yang menarik minatku. Semasa asyik menjamu mata, aku terperasan kelibat seseorang di belakang. Rasa-rasanya dari tadi dia mengekori aku.
Sudah… dia nak menculik aku ke? Rob? Rape? Or worst, kill? Ya ALLAH, Kau lindungilah hamba-Mu ini, aku berdoa. Dadaku berdebar serta-merta. Perasaan takut melanda. Segera aku mematikan langkah dan berpaling untuk melihat manusia tersebut.
Lynn! Debaran di dadaku berkurangan. Jantungku kembali berdegup secara normal.
Dia berseorangan. Dilemparkan sebuah senyuman padaku. Pantas langkahnya diatur menghampiri aku yang berdiri terpacak di hadapan sebuah butik.
Tidak kubalas senyumannya itu. Mataku merenungnya dari atas ke bawah. Tak percaya dia juga berada di sini. Bila masa pulak aku upah dia jadi bodyguard tak rasmiku? Adakah dia sengaja mengekoriku atau memang dia bershopping di bandar ini?
“Sorang saja?” soalnya ramah. Dia berdiri tegak di hadapan mataku.
Sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula. Adat orang melayu yang tinggi budi bahasa, sentiasa berbahasa begitu. Walaupun sudah terang lagikan bersuluh, masih mahu bertanya.
Aku memandang sekeliling, berpura-pura mencari kawanku yang tiada di sisi. Dia ketawa besar melihat tingkahku.
“Tak payah berpura-pura. Awak memang seorang diri,” katanya dalam ketawa yang masih bersisa.
Tahu pun dia. Saja aku malas nak menjawab soalannya. Biar dia yang jawab sendiri. Aku meneruskan langkah yang terhenti sebentar tadi. Pandangan diliarkan ke setiap kedai.
“Awak masih marahkan saya?” soalnya lagi. Beriringan dia berjalan denganku. Dia ni memang tak tahu give-up. Aku respect sungguh. Kalau aku… dah lama say goodbye, desisku.
Aku tidak melayan soalannya. Berpura-pura taksub dengan deretan kedai yang kami lewati. Dia bergerak sedikit ke hadapan. Kali ini dia berjalan dengan membelakangkan tubuhnya. Nak mengambil perhatian aku lah tu…
“Saya minta maaf,” pohonnya lagi. Sesekali dia menoleh ke hadapan. Memastikan tiada orang yang berada di laluannya.
Aku cuba menahan senyum yang ingin terlukis di bibir. Hati ini bagai digeletek melihat dia bersungguh begitu. Sanggup berjalan terbalik di tengah-tengah bandar ini. Dua tiga orang yang lalu-lalang sempat mencuri pandang ke arahnya. Dia buat muka selamba saja.
“Saya benar-benar minta maaf,” sekali lagi dia memohon. Kini, jaraknya agak jauh dariku, kerana dia berjalan agak pantas tadi.
Tiba-tiba aku tersedar, laluannya sudah berubah. Dia semakin melencong ke arah sisi jalan.
Segera aku menjerit padanya, “Lynn, watch out!”
Malangnya, amaranku terlambat. Sebaik dia memusingkan tubuhnya menghala ke hadapan semula…
Buk! Mukanya mencium sebatang lamp post yang berdiri megah di sisi jalan. Dia terawang-awang seketika. Tangannya segera menyentuh dahinya yang berlaga tadi. Digosoknya perlahan.
Tanpa berlengah, aku berlari mendapatkannya. Cemas menguasai diri. Takut dia mendapat serious injury. Janganlah dia pengsan kat sini, aku berdoa di dalam hati. Setakat bleeding, aku boleh uruskan lagi.
“Lynn, kau tak apa-apa ke?” pantas aku menyoal tatkala aku tiba di sisinya. Perasaan bersalah mula berputik di hati. Seandainya aku memaafkan dia tadi, tentu tak terjadi perkara macam ni. Kesal menghimpit jiwa yang sedia diselubungi cemas.
“Tak pasti…” jawabnya perlahan. Tangannya masih lagi mengosok dahi.
Aku menggawangkan tangan di hadapan matanya. Memastikan dia berada di dalam keadaan sedar.
“Ini berapa?” soalku. Aku menegakkan jari tengah dan jari telunjuk.
“Dua.”
Nampaknya dia sedar. Aku mengalihkan tangannya yang mengosok dahi. Cuba melihat kecederaan yang dialaminya. Nasib baik tiada luka dan tak berdarah. Cuma bengkak sedikit. Aku mengajaknya duduk di kerusi yang tersedia di situ. Disebabkan keadaannya yang masih pening-pening lalat, aku terpaksa memapahnya.
“Dahi kau bengkak,” ujarku. Aku menghembus di tempat yang bengkak. Untuk mengurangkan pembekakan. Kalau dirumah, boleh di demah dengan kain. Kalau di sini, susah sedikit untuk melakukannya.
“Teruk ke?” soalnya. Sesekali terdengar dia mengaduh kesakitan. Kesian dia!
“Tak sangat.”
“Ada bleeding?”
“Tak ada. Nasib baik.”
Kami masing-masing mendiamkan diri buat seketika. Namun, aku masih meniup dahinya yang bengkak agar cepat surut.
“Maaf. Sebab aku, kau jadi begini,” kataku perlahan. Perasaan kesal bertimpa-timpa di hati.
“Eh, bukan salah kau. Aku yang jalan tak tengok depan. Salah aku. Tak ada kena-mengena dengan kau,” tingkahnya.
“Tapi kalau aku maafkan kau, mesti accident ni tak terjadi.”
“Don’t blame yourself. Benda dah nak jadi. Nak buat macam mana.”
Kami terdiam lagi.
“Aku dah maafkan kau.” Perlahan aku menuturkan ayat. Hilang awak dan saya. Diganti dengan kau dan aku. Satu perubahan dramatik. Entah bagaimana kata ganti diri itu boleh berubah. Aku sendiri tertanya-tanya.
“Kejam betul. Aku dah sakit begini, baru nak maafkan,” katanya dalam nada pura-pura sedih. “No offense. Saja je nak mengusik.” Cepat-cepat dia menambah. Senyuman lebar terukir di wajahnya.
Aku membalas senyuman itu. Sesungguhnya di saat ini, sisa-sisa kemarahan dan sakit hatiku padanya telah hilang. Bertukar dengan perasaan risau dan keinginan untuk memulihkan hubungan kami. Sekaligus mengenalinya dengan lebih dekat. Harapanku biarlah segala memori hitam antara aku dan dia akan terus terkunci rapat di dalam dasar memoriku. Tak ingin ku ingat dan kenang semua peristiwa lama. Dan aku dapat merasakan dia juga berperasaan begitu.
“Maaflah… sebenarnya dah lama aku maafkan kau. Tapi saja nak tengok setakat mana kau nak berusaha.” Aku berterus-terang.
“Betul?” soalnya seperti tidak yakin. Lynn merenung anak mataku sedalam-dalamnya. Mencari kepastian.
Aku mengangguk.
“So… sekarang ni, kosong-kosong lah yer. Kita start over our friendship. Kalau boleh aku nak lupakan semua bad memories kita dulu. Setuju?” Aku bertanya. Sebuah senyuman terukir buatnya.
“Setuju.” Dia menyatakan persetujuan. Kepalanya dianggukkan.
“Nur Irdina Farhani,” Aku memperkenalkan diri padanya. Memulakan hubungan baru kami.
“Nurul Adlyn,” ujarnya pula.
Kami berbalas senyuman. Sempat aku melihat pembekakan di dahinya yang telah surut sedikit. Serta-merta, perasaan lega bercambah dihati.
“Kita pergi klinik, nak?” pelawaku. Walaupun diluar tiada apa-apa kesan teruk melainkan pembengkakan, aku risau kalau-kalau ada internal injury. Apatah lagi, accident tadi bersangkut-paut dengan kepala. Bahaya!
“Tak payahlah. Sikit aje rasanya.”
“Are you sure?” tekanku.
Dia mengangguk.
“Selalunya tengok orang langgar tiang kat dalam tv aje. Tapi hari ini, terjadi kat diri sendiri. Tak sangka betul,” katanya sambil menggelengkan kepala seperti tak percaya.
“Seronoklah kau, boleh tengok live,” tambahnya.
Aku menatap wajahnya. Serius ke dia? Aku nak ketawa rasanya mendengar dia berkata begitu. Sedaya upaya, aku cuba bertahan. Tak elok ketawakan orang yang ditimpa musibah. Lagipun nanti apa katanya jika aku mentertawakan dia. Silap-silap haribulan, perang dingin kedua melanda. Tak nak aku!
Dia juga seperti sedang berusaha menahan tawa. Sebuah senyuman kecil terlepas dari bibirnya. Kemudian perlahan-lahan senyuman itu bertukar menjadi semakin lebar. Dan akhirnya kami berdua menghamburkan tawa di situ.
little chit-chat :
nurfa + kak pinkjambu, lepas ni nak buat plan apa plak? Diorg dah bebaik, x leh arr kita nak jdk ‘the mischievous’ lg.. huhuhu
auntie fasha, diorang dan berbaik2 dah… and eita jugak nak wish selamat hari guru khas untuk auntie fasha… semoga terus diberi semangat dan kekuatan untuk mendidik anak bangsa… all the best!!
