Mana Lynn ni? Apa yang dibuatnya? Bergayut lagi ke dia ni? Benakku diserang dengan pertanyaan. Ketika hendak keluar dari bilik tadi, handsetnya berlagu nyaring minta diangkat. Tergendala seketika rancangan kami nak memasak nasi goreng bersama-sama. Disuruhnya aku menyiapkan segala bahan-bahan dahulu sebelum dia berpatah balik semula ke dalam bilik untuk menjawab panggilan itu. Katanya, dia akan menyusul sekejap lagi. Tapi ‘sekejap lagi’ selalunya membawa maksud antara 0-10 minit. Ini dah lebih sejam. Takkan definisinya dah berubah? Musykil aku…
Nasi goreng yang telah siap terhidang di atas meja, menjadi santapan mataku. Kepulan-kepulan asap tebal semakin lama semakin menghilang. Petanda-petanda nasi goreng bakal menjadi sejuk. Tak sedaplah nanti, hatiku berkata.
Air coklat yang aku bancuh sementara menunggu kedatangan Lynn, aku hirup perlahan. Penuh hati-hati. Takut melecur lidah dek kepanasannya. Selepas menghirup sedikit, aku meletakkan kembali mug di atas meja. Meneruskan tugas merenung nasi goreng yang semakin hilang ‘seri’nya.
Kebosanan menanti mula terasa. Aku mengetuk jari-jemari di atas meja makan. Sesekali aku menjengok ke ruang tamu. Mencari-cari kelibat Lynn. Masih tiada bayangnya di situ.
Krok! Aduh… perut berbunyilah pulak. Aku mengusap perut perlahan. Bagaikan menyuruhnya bersabar. Cepatlah Lynn… aku dah tak tahan daulat ni, lapar giler. Mati kempunan aku kat sini nanti. Lynn oh Lynn, kau dengar ke tak ni? Beria-ia aku berbicara di dalam hati seolah-olah aku mempunyai kuasa telepati yang boleh menghubungkan aku dengan Lynn.
Hendak makan dulu, rasanya tak elok pula. Kami dah berjanji nak memasak dan makan bersama-sama. Biarpun yang memasaknya tadi, hanya aku seorang. Lagipun, makan sorang-sorang tak seronok. Ada kawan, terutamanya Lynn, baru meriah. Makan pun berselera. Entah-entah tambah nasi dua tiga kali. Maklumlah… perut tengah minta diisi.
Tak sanggup menanti lebih lama, akhirnya aku mengambil keputusan untuk mencari Lynn di bilik. Nasi goreng dan sejag air coklat aku tinggalkan di dapur. Aku bertembung dengan Anita yang merupakan teman sebilik Fariza, di ruang tamu. Mungkin dia nak ke dapur.
Kak Suzi telah berpindah ke rumah sewa lain. Menurutnya, dia akan tinggal bersama teman baiknya yang baru mendapat tawaran belajar di sini. Disebabkan itu, Kak Syima berkongsi bilik dengan Kak Ayu dan kemudian, mengambil seorang student yang sebaya denganku sebagai pengganti Kak Suzi. Sekaligus menjadi roommate Fariza. Kini, Fariza lebih rapat dengan Anita manakala aku pula lebih rapat dengan Lynn.
“Laju aje? Nak ke mana?” sapanya.
“Panggil Lynn kat bilik,” kataku tanpa berhenti walau pun sekejap.
“Aku masak nasi goreng, kalau kau nak makan, ambillah,” sambungku sebelum Anita menghilang ke dalam dapur.
Aku menolak daun pintu bilik. Terbuka luas. Terpampang di hadapan mata, tubuh Lynn sedang berbaring di atas katil. Wajahnya di halakan ke arah dinding. Lynn… penat aku tunggu kat dapur, boleh dia tidur kat sini. Tak lapar ke? Soalku di dalam hati. Aku menghampiri katilnya. Berniat untuk mengejutkan dia dari tidur.
“Lynn, bangunlah,” kataku. Aku menepuk kakinya perlahan.
“Nasi goreng dah siap,” tambahku lagi.
Lynn tak bergerak. Nyenyak sungguh dia tidur. Aku mengeluh perlahan. Kesian dia, tidur dengan perut kosong. Mengantuk sangat ke? Mungkin lepas berbual di telefon tadi, dia terus terlelap. Dugaku setelah terpandang handsetnya yang diletakkan di sebelah bantal.
Tiba-tiba, bahunya terhenjut-henjut. Batuk? Tak mungkin, tak ada batukan yang keluar dari mulutnya. Kesejukankah dia? Mustahil. Dia bukannya menggigil. Segera aku mengambil tempat di birai katil. Lalu menyentuh bahunya. Telingaku dapat menangkap esakan kecil yang terlepas dari bibirnya. Hatiku dilanda curiga. Kenapa dengan dia?
“Lynn…” panggilku lembut.
Langsung dia tak menyahut panggilanku. Malah, dia berganjak lebih rapat ke dinding. Reaksinya itu semakin membuatkan hatiku bertambah curiga. Tingkah lakunya berubah mendadak. Sebelum aku meninggalkan dia tadi, bukan begini keadaannya. Apa yang terjadi sebenarnya? Adakah semua ini kerana panggilan yang diterimanya? Perasaan ingin tahu membuak-buak di dalam dadaku. Keadaannya yang begini juga, turut mengundang perasaan risau di hatiku.
“Lynn, kenapa ni?” Aku bertanya lagi.
Esakan yang ditahannya, semakin jelas kedengaran. Dia tak mampu membendung tangisannya lagi. Walaupun begitu, dia masih membelakangkan aku. Menyembunyikan wajahnya dari pandanganku.
“Lynn… apa yang terjadi?” soalku tanpa henti. Aku cuba mengalihkan badannya agar berhadapan denganku. Susah rasanya berbicara dalam keadaan seperti ini. Aku tak boleh melihat riak mukanya untuk mentafsirkan apa sebenarnya yang sudah berlaku.
Perlahan-lahan dia memalingkan tubuhnya. Mengadapku yang duduk di birai katilnya. Aku terkejut tatkala melihat raut wajahnya. Matanya merah dan membengkak. Sisa air mata masih jelas di pipinya. Sudah lamakah dia menangis? Aku tertanya-tanya.
Dia menyandarkan tubuhnya di kepala katil. Bantal yang menjadi pelapik kepalanya, didakap erat. Segala tindak-tanduknya menjadi perhatianku. Bertambah risau aku melihat dia menangis hingga begini. Besar sangatkah masalah yang dihadapinya?
“What’s wrong?” Bibirku masih hendak bertanya lagi. Selagi dia berdiam diri begini, rasanya mulut aku akan tetap menghamburkan soalan-soalannya. Tambahan pula, perasaan curigaku ini perlukan ‘ubat’nya. Hanya Lynn yang boleh mengubatinya.
Dia menarik nafas panjang. Seakan menyediakan dirinya untuk menceritakan apa yang telah berlaku. Matanya yang berkaca, dipejamkan beberapa ketika. Kemudian, dibukanya semula. Handsetnya dicapai. Dibelek-beleknya buat beberapa ketika.
“Hairie bertemu orang lain,” ujarnya perlahan. Nada suaranya penuh sendu dan tersekat-sekat. Air mata menitis di pipinya. Segera dia menyeka. Tidak dibiarkan air mata itu terus membasahi pipinya.
Hairie. Kekasih Lynn atau kukira di saat ini tarafnya hanya sebagai bekas kekasih Lynn. Aku tak pernah mengenali jejaka itu. Cuma pernah melihat gambarnya sahaja. Tampan. Memang secocok untuk gadis secantik Lynn. Segala-galanya yang aku tahu tentang Hairie, Lynn yang menceritakan padaku.
Sebelum Lynn berangkat ke UK, Hairie pernah menyatakan padanya, dia ragu-ragu dengan ‘nasib’ perhubungan mereka.Hairie tak pasti samada mereka mampu mempertahankannya. Dia takut seandainya salah seorang dari mereka berubah hati, memandangkan mereka akan berpisah jauh. Dan mereka telah berjanji, sekiranya salah seorang dari mereka berubah arah, hubungan mereka akan diputuskan. Dan itulah juga punca-punca Lynn bersikap seperti ‘samseng’ sewaktu pertemuan pertama kami dulu.
Aku tahu, Lynn sebenarnya tidak pernah bersetuju dengan cadangan Hairie. Tapi dia terpaksa. Dia lebih rela berjanji begitu daripada ditinggalkan Hairie sebelum dia ke sini. Dan perpisahan ini… sudah pastinya tidak pernah dia harapkan. Cinta Lynn pada Hairie masih tetap seperti dulu. Sedikitpun tidak berubah. Dua tahun mereka menyemai dan membaja benih cinta, bukan mudah untuk dilupakan begitu sahaja.
Mudahnya Hairie mencari pengganti. Padahal, belum pun sampai beberapa bulan mereka berjauhan. Hati lelaki. Agaknya memang begitu. Tak bolehkah berkorban dan bersabar sedikit?
Kala cinta masih utuh di hati, segalanya indah belaka. Sanggup berkorban jiwa dan raga. Sanggup memetik bintang di langit. Sanggup berjanji setia. Tapi di saat hilangnya cinta mereka, apa yang tinggal? Derita dan kecewa. Mengapa mudah bagi lelaki melafazkan setia, tapi tak sanggup menunaikannya? Benarlah lelaki hanya manis di mulut tapi tidak di hati.
Kenapa tergamak Hairie buat Lynn begini? Adakah cintanya pada Lynn selama ini hanya satu sandiwara? Aku tertanya-tanya.
“Dia yang telefon tadi?” soalku lembut.
Lynn mengangguk.
“Apa salahku padanya hingga dia sanggup tinggalkan aku?” lirih suara Lynn mengutarakan soalan.
“Lynn, kalau Hairie tinggalkan kau, it’s his fault. Jangan sekali-kali kau salahkan diri sendiri,” ujarku padanya dengan nada seperti tadi. Aku cuba menyedarkan Lynn. Tak sepatutnya dia menyalahkan dirinya sendiri. Yang mengusulkan perpisahan ialah Hairie. Yang berubah hatinya adalah Hairie jugak. Dalam perkara ini, Hairie yang bersalah.
“Hairie tu memang tak tahu menilai. He doesn’t even know how to appreciate a girlfriend as loyal as you. The loss was in his side. Not yours...” Aku menambah. Memang benar, kalau lelaki seperti Hairie tak tahu menghargai perempuan seperti Lynn, dia yang rugi. Zaman sekarang, bukannya mudah nak mencari kekasih yang setia. Susah. Kekasih barunya tu pun, belum tentu sesetia Lynn.
“For two years aku bercinta dengan dia, Hani. Macam mana aku nak lupakan dia?” Air mata menitis lagi di pipinya. Kali ini tidak diseka air mata itu. Dibiarkan ia mengalir.
Begini rupanya orang yang putus cinta. Terseksa jiwa dan raga. Merana badan. Air mata peneman setia, betullah kata orang.
“Mula-mula memang susah. Tapi lama-lama, kau akan berjaya. This kind of thing takes time. Kau kena tabah.” Terus-terusan aku cuba menenangkan hatinya. Memberikannya semangat untuk melawan dugaan yang menimpanya. Dia perlukan moral support. Aku tak mahu dia terus bersedih begini dan menyeksa dirinya sendiri.
“Aku tak mampu,” ujarnya sambil mengelap hidungnya yang berair.
“Takkan kau nak punished diri sendiri, Lynn. Just because of him? It’s not even worth it,”nasihatku. Aku merenung wajahnya.
“Aku tahu dia masih cintakan aku… ”
“Kalau dia masih cintakan kau, kau nak merayu pada dia untuk terima kau semula?” soalku meminta kepastian.
Lynn terdiam. Aku menggeleng kepala perlahan.
“Lynn, listen to me. Hairie memang dah berubah sebelum kau ke sini lagi. Jika tidak, kenapa dia buat cadangan yang tak masuk dek akal tu dulu? If he really loves you waktu tu? You can sacrificed, why can’t he?”
Air matanya semakin deras mengalir. Dia tersedu-sedan.
“Tapi kami dah berjanji nak hidup bersama-sama,” katanya dalam esak tangis.
“Janji…,” Aku melepaskan keluhan berat sebelum meneruskan kata-kata, “janji hanya pemanis mulut Lynn. Kata-kata untuk menghiburkan hati. Untuk mengambil hati kau. Tak semua janji yang dilafazkan tu akan ditunaikan. It’s just words, Lynn… seandainya kata-kata itu bukan dari hati yang ikhlas dan tulus.”
“Sedangkan pantai lagikan berubah, inikan pula hati manusia. Yang susah untuk kita selami.” Aku menambah.
Lynn menyapu air matanya.
“Anggaplah kau dengan dia tiada jodoh. Masa depan kau bukan dengan dia. Ada lelaki lain yang lebih baik dari dia untuk kau nanti. Lynn, bercinta 5 tahun waima 10 tahun pun, kalau ditakdirkan kau bukan untuk dia, korang tetap akan terpisah. Jodoh kita dah ditentukan ALLAH. Dan sekiranya jodoh kau benar-benar dengan dia, kau pasti akan bersama dengannya walaupun korang berpisah sekarang. Takdir ALLAH kita tak tahu.” Panjang lebar aku ber‘ceramah’ padanya.
Dia seperti sedang memikirkan kata-kataku. Aku melepaskan nafas panjang. Sedikit sebanyak aku risau dengan berita yang aku terima ini. Kerisauan aku berlipat ganda bila memikirkan tentang dirinya. Takut sekiranya kekecewaan yang dialaminya akan berterusan dan menganggu pengajiannya. Sebagai kawan merangkap roommate dia, aku harus memikul tanggungjawab membawa dia ‘keluar’ dari kekecewaan dan masalah yang dihadapinya.
“Macam mana kalau aku tak boleh lupakan dia sampai bila-bila?” Lynn bertanya dalam nada suara yang rendah. Seakan-akan dia bertanya pada dirinya sendiri.
“Astagfirullah… jangan cakap macam tu. Kalau dalam hati kau dah di set, yang kau tak boleh nak lupakan dia, sampai bila-bila pun kau takkan lupakan dia. Kau kena tanamkan dalam hati, yang kau boleh, mampu dan akan lupakan dia. Barulah kau akan berjaya,” kataku memberi semangat.
“Bila-bila masa kau perlukan teman untuk meluahkan perasaan atau menenangkan hati, bagitau aku. Aku sedia mendengar dan berkongsi apa jua yang melanda perasaan kau. Aku tak nak kau tanggung dan menderita semua ni sorang-sorang. It’s not good for you.” Aku menawarkan diri. Benda-benda begini, bukan boleh disimpan sorang-sorang, kelak merana badan.
Lynn memandang wajahku. Riak wajahnya tergambar perasaannya yang sedikit tenang setelah mendengar kata-kataku tadi. Lega agaknya ada orang yang sudi berkongsi masalahnya. Apapun, aku ikhlas menawarkan diri.
“Tak sepatutnya aku tanya soalan ni pada kau diwaktu tak sesuai begini. Tapi aku nak tanya jugak. Kau tak lapar ke?” Aku mengubah topik perbualan setelah aku merasakan Lynn sudah mampu mengawal perasaannya.
Dia membuka mulutnya untuk berkata sesuatu…
“Tak ada selera, tak lalu nak makan,” pantas aku menjawab bagi pihaknya sebelum sempat dia meluahkan.
Dia terkejut.
“Semua orang yang mengalami masalah seperti kau, jawapannya mesti begitu bila diajak makan,” jawabku sambil tersenyum nipis.
“Aku nak tidur dulu,” ujarnya. Dia kembali membaringkan tubuh. Selimut dihujung katilnya, ditarik. Handset yang dipegangnya sedari tadi diletakkan kembali di sisi bantalnya.
“Tak nak makan pun tak apa. Tapi perut tu jangan biar kosong. Nanti aku bancuh susu untuk kau,” kataku seraya berdiri.
“Tak payah susah-susah,” tolaknya.
“Apa pulak susah, bukannya aku nak kena perah susu lembu. Sekarang dah moden Cik Nurul Adlyn. Cuma perlu bancuh aje. And…” aku berjeda seketika, “… that’s what friends are for, right?” Aku mengenyitkan mata bersama sengihan nipis.
Senyuman kecil terhias di bibirnya. Walaupun bukan ketawanya yang menyambut jenakku tadi, aku cukup berpuas hati. Sekurang-kurangnya dia masih mampu lagi melemparkan senyuman. Siapa tahu, mungkin dalam masa terdekat ini, dia mampu melupakan Hairie?
“Jangan tidur lagi tau. Tunggu aku datang.”
Dia hanya mengangguk.
- special dedication wat member yg sama fav. foodnya (LAKSA) dgn eita -
jam : 0001, tanggal 20hb 2005, eita nak wish :-
sEnGiL chUkKa hE…
SeLamAt HaRi JaDi…
HaPpY BirThDaY To YoU…
semoga dimurahkan rezeki oleh-NYA + dipanjang umur + ditabahkan hati menjalani hidup di perantauan + berjaya dalam exam + berjaya dlm hidup...
so, dear… seperti yg telah dijanjikan, esok (20hb), eita akan makan laksa bg pihak awak yg x dapat merasainya di hari yg penuh sejarah… esok awak mesti bergembira tau? celebrate dgn kawan2 kat sana… jgn sedih2, k? moga awak terus dirahmati-NYA. Amin…
pst: eita saja x nak sebut nama awak, takut awak segan… mianhae… mmuuaahhhh!!!
