Aku mengeluarkan teko dari dalam kabinet. Membancuh air teh untuk tetamu yang datang. Kemudian, aku menyusun cawan dan piring berisi cookies di atas dulang. Air teh yang siap dibancuh aku tuangkan ke dalam cawan sebelum melangkah dengan dulang di tangan ke ruang tamu.
“Minum Uncle, Aunty,” pelawaku sambil meletakkan dulang di atas meja kopi. Aku mengambil tempat di hadapan mereka.
“Minumlah sama,” ujar Aunty Aishah sambil melemparkan senyuman buatku.
“Tak apalah. Uncle dengan Aunty minumlah dulu.” Aku menolak. Senyuman Aunty Aishah aku balas seadanya.
“Lambat lagi ke Lynn nak balik?” Suara Uncle Azman menyoal. Mungkin tak sabar menanti kepulangan anak kesayangannya.
“Kejap lagi sampailah dia,” maklumku. “Selalunya waktu begini kelasnya dah tamat.”
Sebaik tiba di rumah sebentar tadi, aku dikejutkan dengan kehadiran sepasang suami isteri di depan pintu rumah. Disebabkan tiada sesiapa ketika itu, mereka terpaksa menanti di luar. Agaknya entah berapa lama mereka berdiri terpacak di depan pintu rumah kami. Walaupun aku tak pernah berjumpa enam mata dengan mama dan papa Lynn, tapi aku dapat mengecam rupa mereka. Manakan tidak, gambar mereka sentiasa menghiasi meja study buah hati kesayangan mereka itu.
“Hani roommate Lynn, kan?” tanya Aunty Aishah.
Aku mengangguk sebagai jawapan. Dalam hati, tertanya-tanya, kenapa agaknya Lynn belum pulang? Selalunya hari ini dia pulang lebih awal dariku. Adakah dia sudah sedia maklum akan kedatangan mama dan papanya hari ini? Justeru itu, dia ke bandar untuk membeli makanan buat menjamu mereka. Tapi takkan dia lupa memaklumkan padaku.
Kak Ayu dan Kak Shima pun tak ada di rumah. Kalau tidak, boleh diajak berbual bersama. Seorang diri begini, melayan Uncle Azman dan Aunty Aishah membuatkan aku sedikit kalut. Sebabnya hanya aku seorang tumpuan mereka. Tempat mereka mengajukan pertanyaan.
“Lynn banyak cerita pasal Hani.” Tak tertelan air liur saat mendengar sebaris ayat itu. Mesti Lynn ceritakan segala-galanya pada mereka berdua. Tentang hubungan kami dahulu dan sekarang. Malu ada, takut pun ada. Rasanya nak aje aku menyorok di balik sofa. Menyembunyikan diri.
Aku memandang wajah Aunty Aishah sedikit demi sedikit. Takut sekiranya pandangan tajam yang menyapa anak mataku nanti. Emak mana yang tak marah, kalau anak diusik hingga demam-demam. Terlantar sakit begitu. Ummi pun akan mengamuk, kalau aku yang terkena. Aduhai… apa aku nak jawab kalau Aunty Aishah bertanya tentang hal itu nanti? Dadaku berdebar.
Sebuah senyuman melebar menyapa pandangan mataku. Fuh! Nasib baik… aku hampir-hampir nak berpeluh tadi.
“Kenapa Hani pandang Aunty macam tu?” kata Aunty Aishah dalam ketawa kecil.
Dia perasan ke? Aku ingatkan aku dah habis cover tadi… Malu! Malu! Lantas aku menundukkan wajah.
“Tak ada apa Aunty.” Aku menjawab tanpa sedikit pun memanggungkan kepala. Berpura-pura membelek wood’s knot yang terdapat pada meja kopi. Eleh… selama ni tak pernah terfikir pun nak membelek! Ejekku pada diri sendiri di dalam hati.
“Aunty happy, Lynn ada Hani. At least, dia ada kawan yang tolong tengok-tengokkan dia. Lynn kata, Hani baik sangat dengan dia. Aunty nak ucap terima kasih pada Hani.”
Aku musykil. Takkan Lynn tak pernah bukak langsung cerita dongeng aku dengan dia dulu? Kisah ‘Hate At First Sight’? Ummi pun tahu semua cerita pasal aku dan dia. Mustahil Aunty Aishah tak tahu. Ataupun Aunty Aishah tahu, tetapi dia tidak ingin mengungkit cerita yang dah lapuk tu lagi. Biarlah… apa-apa pun kisah tu dah tamat. No use in reminding it.
“Alah Aunty, apa sangat lah jasa Hani sampai nak berterima kasih. Bukan Hani sorang tengok-tengokkan dia, satu rumah ni jaga dia jugak. Lagipun, Lynn jaga Hani. We take care of each other,” ujarku merendah diri.
“Ya, dia ada cerita jugak pasal housemate lain. Tapi katanya dia paling rapat dengan Hani.”
“Dah jadi roommate, Aunty. Bangun pagi tengok muka dia, sebelum tidur pun tengok muka dia. Kiranya tak sah kalau tak tatap muka dia. Macam mana tak rapat,” kataku sambil ketawa kecil.
Uncle Azman dan Aunty Aishah sama-sama melepaskan tawa mendengar kataku.
“Aunty nak tanya sikit. Lynn sekarang dah okey ke?” soal Aunty Aishah setelah ketawa kami reda.
Dahiku berkerut. Tak faham dengan maksud pertanyaannya. “Maksud Aunty?”
“Dia dah putus hubungan dengan Hairie, kan?”
“Masa mula-mula dulu dia merana. Makan pun tak tentu. Bersedih aje 24 jam. Sekarang ni, alhamdulillah, dia dah okey. Dah boleh terima kenyataan pun.”
“Lega hati Aunty. First time dia call bagitau dia dah putus, hati Aunty ni sentiasa tak tenang. Asyik risaukan dia aje. Nak datang masa tu, tak boleh. Sekarang baru ada masa.”
“Uncle ni ha… kena bertugas jadi kaunselor Aunty. Tenangkan hati dia. Bukannya Uncle tak risaukan Lynn, tapi uncle yakin, Lynn ada kawan-kawan yang boleh tolong dia. Kamu semua takkan biarkan dia sendirian, kan?” celah Uncle Azman.
Aku mengiakan.
“Tengok, kan abang dah cakap?” Uncle Azman bersuara pada Aunty Aishah.
“Dah lama benda tu berlaku Uncle, Aunty. Kalau dikenang pun tiada gunanya. Yang penting Lynn dah ok.” Aku menyampuk.
Mereka sama-sama mengangguk.
“Uncle dengar, Lynn dengan Hani jadi saudara, betul ke?” tanya Uncle Azman. Pandangannya diarahkan padaku.
Belum sempat aku menjawab, kedengaran laungan salam diberikan. Lantang. Terjengul muka Lynn di muka pintu. Terbeliak matanya tatkala terpandang kelibat tetamu yang datang.
“Papa! Mama!” jeritnya. Tanpa berlengah dia berlari mendapatkan kedua-dua mereka. Uncle Azman dan Aunty Aishah berdiri menanti Lynn menghampiri mereka.
Tangan kedua-duanya dicium tanda hormat. Dan kemudian, Lynn memeluk papa dan mamanya silih berganti. Melepaskan rindu yang terpendam. Hatiku tersentuh menyaksikan drama sebabak itu. Untung Lynn! Mama dan papanya sanggup datang dari jauh melawatnya.
“Kenapa nak datang tak beritahu?” soalnya apabila mereka kembali mengambil tempat masing-masing di atas sofa. Lynn duduk diantara mereka.
“Saja nak buat surprise!” jawab Uncle Azman.
“Nasib baik Lynn tak ada heart attack. Kalau tak, menangislah papa dan mama, kehilangan anak tersayang!” Lynn mengusik.
“Lah, kalau dah tahu Lynn ada heart attack, takkan mama dan papa nak buat macam ni. Apalah anak papa ni!” balas Uncle Azman. Dia tersenyum kecil.
Lynn dan Aunty Aishah turut tersenyum. Aku sebagai audience yang tak perlu membayar tiket, juga tersenyum.
Melihat kemesraan dan papanya, hatiku bertambah tersentuh. Macam mana rasanya mempunyai seorang ayah? Aku tak pernah berpeluang merasa semua itu. Ayah meninggal ketika umurku baru 2 tahun. Aku dan Along dibesarkan sendiri oleh ummi. Dalam hidupku, ummilah ayah, ummilah ibu. Ummi segala-galanya bagiku. Entah kenapa, hari ini secara tiba-tiba aku berperasaan begini. Mungkin selama ini, aku belum melihat sendiri dengan mataku bagaimana kasih sayang seorang ayah pada anaknya. Ini kali pertama. That’s why I’m too emotional, desisku.
“Papa and mama nak stay berapa lama kat sini?” suara Lynn menyedarkan aku kembali.
“Empat hari aje,” jawab Aunty Aishah.
“Kejap aje.”
“Habis tu, nak duduk sini dua tiga bulan?” soal Uncle Azman.
“Apa kata, dua tahun ke?” soal Lynn kembali.
“Baik suruh aje papa sambung study kat sini. Temankan Lynn,” Aunty Aishah bersuara.
“Papa nak further study?” tanya Uncle Azman sambil menunjukkan jari ke batang hidungnya. “Otak dah berkarat, letak minyak diesel banyak-banyak pun belum tentu berjalan lancar.”
Serentak kami semua ketawa mendengar jenaka Uncle Azman.
“Lupa pulak. Mama dan papa dah kenal dengan Hani?” Lynn mengutarakan soalan setelah ketawa kami reda.
“Dah.” Aku menjawab. Dari tadi aje kunci mulut, sekali-sekala kena jugak bersuara.
“Nilah… ‘kembar’ Lynn tu?” tanya Uncle Azman.
“Yap,” ujarnya sambil berdiri. Sesaat kemudian, dia melabuhkan punggungnya disisiku. Pelik aku dengan tingkahnya yang tiba-tiba.
“Hani, ini mama dan papa aku.” Nak buat perkenalan lagi ke?
“Aku dah kenal tadi.” Aku memaklumkan.
“And… disebabkan kita saudara merangkap ‘kembar’ as my father had said earlier, kau pun kena panggil mama dan papa jugak.” Ternganga mulut aku mendengar ayatnya itu. Seakan sukar untuk aku proseskan ayatnya di kilang otakku ini.
“Lynn…” Aku cuba membantah. Anak mataku menyoroti wajahnya. Sedikit tajam sorotan mataku.
“Yelah… kenapa, kau tak sudi? Kata nak jadi saudara aku,” nadanya sedikit terkilan.
Pening aku dengan karenah Lynn. Dulu, nak jadi saudara, aku tak kisah sebab aku pun dah anggap dia macam saudara aku sendiri. Tapi… sampai dengan mama dengan papa dia sekali aku nak kena ber‘saudara’, macam tak kena aje, ngomelku.
“Terima ajelah Hani. Bukan senang tau, Lynn nak share papa dan mama dengan orang lain. Dia sudi share dengan Hani, maknanya, Hani benar-benar orang yang dia appreciate dalam hidup dia,” desak Aunty Aishah.
Kenapa dia buat begini? Perasankah dia, aku tersentuh dengan kemesraanya dengan papanya tadi? Lalu dia mengusulkan cadangan ini. Lynn memang tahu aku tak mempunyai ayah. Adakah kerana simpati? Aku ragu-ragu.
“Tapi Aunty…” sekali lagi aku cuba menolak.
“No but… and please panggil mama, bukannya aunty!” arah Lynn tegas.
Paksa orang la pulak minah ni! Apa aku nak buat? Getus hatiku lagi.
“Just say yes, Hani. Lagipun mama dengan papa pun seronok dapat anak baru. Bertambah bilangan ahli keluarga kita,” pujuk Uncle Azman pula.
Aku menjadi kelu. Mulut terkunci. Tiba-tiba Lynn memeluk bahuku. Dia merenung ke dalam anak mataku. Seolah-olah memujuk aku menerima cadangannya.
Setelah berfikir-fikir sebentar, aku akhirnya mengangguk. Nampaknya selepas ini, aku mempunyai sebuah keluarga angkat. Akan bertambah bahagiakah aku? Insya-ALLAH…
Lynn tersenyum lebar menerima jawapanku. Begitu juga dengan Aunty Aishah dan Uncle Azman. Aku turut melemparkan senyuman. Bila difikirkan kembali, seronok jugak seandainya mempunyai family angkat. Seperti kata Uncle Azman, bertambah ahli keluarga. Bertambah ikatan kasih sayang. Dan bertambah insan yang akan menghargai kita.
“Ok, Hani dengan Lynn pergi bersiap sekejap lagi. Malam ni papa dengan mama nak bawak kamu berdua bersiar-siar. And dinner sekali, meraikan kedatangan orang baru,” seloroh Uncle Azman.
Aisey… merah pipi aku. Malu! Meraikan kedatangan orang baru… tak ubah seperti aku ni bayi yang baru lahir. Perasan sungguh… kalau kahwin pun dah beranak Hani, tak usah berangan la nak jadi ‘baby’, kataku sendiri. Aku tersenyum di dalam hati.
“Uncle dengan Aunty, minum lah. Dari tadi tak minum pun.” Tajam pandangan Lynn merenung wajahku setelah mendengar kata-kataku.
Opss… renungannya itu terlalu tajam lantas mengingatkan yang aku telah tersilap cakap.
“Err… ma..ma dengan pa..pa..papa, minum lah dulu.” Teragak-agak aku bersuara. Tak biasa. Segan pun ada.
Lynn tersenyum ceria mendengar kata-kataku. “Macam tulah, sis!”
“Mama dengan papa bersembanglah dengan Lynn dulu. Hani nak simpan beg kejap.” Lancar aje mulut aku menyebut mama dengan papa. Mungkin dah dapat menyesuaikan diri agaknya. Mama dan papa tersenyum dan perlahan menganggukkan kepala.
Aku mengambil beg galas di tepi sofa yang tidak disimpan selepas pulang dari kuliah tadi. Lalu melangkah ke arah bilik. Lagipun, aku nak memberi peluang pada Lynn untuk bercerita habis-habisan dengan papa dan mama. Kan dah lama tak bertemu. Bertambah becoklah mulut murai tu berkicau…
~~ KSL ( ----<<--@ ) KSL ~~
“Tak sangka kan, kejap aje kita dah sem akhir,” suara Lynn memecah kenangan lama yang terimbau di fikiranku. Terpadam segala memori yang telah kami lalui bersama suatu waktu dahulu.
“Ha’ah. Tinggal lagi 3 bulan kita kat sini,” sahutku. Cepat sungguh masa berlalu. Sedar tak sedar, aku kini sudah di semester akhir. Pengajian aku di sini hanya tinggal 2 bulan sahaja lagi. Selepas itu, aku akan kembali menjejakkan kaki di tanah tumpah darahku buat selamanya.
“Dah tak sabar nak balik Malaysia,” tutur Lynn bersama senyuman kecil. Dari nada suaranya, aku pasti dia sudah tidak sabar-sabar lagi untuk pulang. Ah, apa kurangnya aku?
Semakin dekat tarikh kepulanganku, semakin menebal rasa rinduku pada bumi bertuah itu. Hampir setiap saat dan ketika, ia berada di fikiran. Sepatutnya, aku lebih menumpukan perhatian pada pelajaran. Ini tidak, aku lebih rela menyemakkan fikiran dengan memikirkan tentang keadaan di sana.
Kami terdiam buat beberapa ketika.
Aku meliarkan pandangan memandang ke segenap ceruk park ini. Cuba merakam dan menyimpan keindahannya di dalam kotak memoriku. Entah bila aku akan kembali ke sini setelah aku berada di tanah air nanti, aku tidak pasti.
“Hani… promise, we’ll be sisters forever,” ujar Lynn secara tiba-tiba. Dia menoleh ke arahku sekilas.
“I promise. Tapi kenapa tetiba jer kau suruh aku vow again ni?” Aku bertanya. Hairan dengan permintaanya yang tidak terduga olehku. Selama ini pun, kami dah memang seperti adik-beradik. Aku dah menganggap dia, papa dan mama seperti keluarga aku sendiri. Malah rasanya secara tidak rasmi mereka sekeluarga telah menjadi keluarga angkatku. Kenapa perlu aku mengulangi dan berjanji apa yang pernah aku katakan dulu?
“Aku takut kau lupakan aku bila dah balik Malaysia nanti. Aku tak nak hubungan kita tamat di sini.” Lynn meluahkan rasa hatinya.
“Lynn, aku tetap akan menganggap kau sebagai saudara aku. Forever. Balik Malaysia nanti, kita masih boleh berjumpa,” tuturku padanya. Memberikan sedikit harapan dan keyakinan. Seperti aku, Lynn juga tinggal di KL. Jadi, tiada masalah untuk kami berjumpa.
Kami saling bertukar senyuman sebelum kembali menumpukan perhatian pada kanak-kanak yang asyik bermain di hadapan.
“Jadi tak bulan depan nak ke Wolds Way Lavender?” soalku meminta kepastian. Aku, Lynn dan seisi rumah termasuk Fariza dan Anita bercadang nak melawat Worlds Way Lavender di Yorkshire. Dan sudah semestinya lah cadangan itu datangnya dariku, seorang peminat lavender. Dengar khabarnya, terdapat lebih 80 jenis lavender yang ditanam di situ. Wah… mesti seronok.
“Insya-ALLAH, jadi.” Lynn menjawab. “Kenapa kau suka sangat lavender, hah?”
“Berapa kali mau tanya daa?” selorohku. Pecah tawa kami berdua.
Aku menarik nafas panjang sebelum berkata, “Kau tau tak Lynn, kasih sayang kau sebagai seorang sahabat dan saudara, bagi aku seharum lavender?”
Dia terkebil-kebil memandangku. Tidak dapat memahami maksud di sebalik butir-bicaraku.
Aku tawa kecil. “Haruman lavender kan boleh memberi ketenangan. Seperti kasih kau padaku. Tiap kali aku dilanda gelisah bila memikirkan liku-liku hidup dan masalah yang aku hadapi di sini, hatiku akan kembali tenang. Coz aku tahu, you’ll always be there for me. Always stand by my side. There’s no words to describe, how much I valued our friendship…” Aku meluahkan apa yang tersimpan rapi di sudut hatiku.
Dan Lynn ternyata tersentuh dengan kata-kataku. Air mata bergenang di kelopak matanya. Pantas aku memeluknya erat. Menyimpul rapi ikatan persahabatan dan persaudaraan di antara kami…
As we walk our path of life, we meet people every day, most are simply met by chance, but some are sent our way. These become the special friends, whose bond we can’t explain, the ones who understand us, and share our joy and pain…
