Chapter II
Ruang office masih lengang. Hanya dua tiga staff yang kelihatan. Majoritinya samaada belum sampai ataupun mereka turun ke restoran membeli sarapan. Tanpa menghiraukan staff yang rancak bersembang di sudut pejabat, aku melangkah pantas ke bilik yang disediakan untukku.
Pagi ini, aku harus membereskan laporan yang tertangguh Sabtu lepas. Laporan itu sudah 90 peratus siap. Dan baki 10 peratus itu, aku yakin, aku mampu menyudahkannya sebelum pukul 11.00 nanti. Lepas itu, aku perlu menyerahkan laporan tersebut pada Kak Jana di bahagian admin untuk ditaip.
Mujur juga hari ini, aku tak perlu menghabiskan masa di luar office. Selamat! Sekurang-kurangnya tak bermandi peluh aku dibuatnya, disimbah cahaya terik di luar sana. Berpeluanglah jugak aku ‘menyelimuti’ diri dengan kedinginan buatan manusia. Walau tak sedingin di artic atau antartik yang bisa membuatkan seseorang di serang hyporthemia.
“Dina...” seseorang melaung namaku dari belakang. Pantas aku memalingkan badan.
Nor Suhana mengatur langkah panjang mendekatiku. Melihat wajahnya, serta-merta aku menguntum senyum. Tanpa perlu berbicara pun, aku sudah tahu tujuannya memanggilku.
“Ada?” soalku tanpa sabar.
“Mestilah ada…” jawabnya bersama senyum nipis.
Aku memandang ke bawah. Nak memastikan kebenaran kata-katanya. Benar. Suhana menjinjit paper bag campuran warna biru dan merah di tangan. Dan aku pasti apa jua benda yang aku dambakan darinya berada di dalam paper bag itu.
“Nah. Barang yang kau pesan,” tutur Suhana seraya menyuakan paper bag itu. Dia bagaikan memahami maksud pandanganku.
“Thanks. Berapa harganya?” Aku menyambut huluran paper bag tersebut. Isinya kujengah seketika. Tatkala isinya menyapa anak mataku, sebuah senyuman puas terukir di wajah.
“Cukup-cukup aje duit yang kau bagi.”
“So… tak payah bayar lagilah ni?” soalku meminta kepastian.
Dia mengangguk bersama senyum kecil.
“Thanks again. Seronok bercuti?” tanyaku. Nor Suhana dan beberapa orang rakannya melancong ke Pulau Pinang pada hari Sabtu dan Ahad yang lalu. Dan sebelum dia berangkat ke Pulau Mutiara, aku telah memesan barang padanya. Untuk dibawa pulang ke sini.
“Best. Rugi kau tak join sekali,” katanya dalam nada gembira. Pastinya, percutian ini meninggalkan kenangan manis dalam dirinya, aku menduga. Kalau tak, takkan wajah dia happy aje.
“Kerja banyak, camne nak pergi…” sayu aku bersuara. Jika ikut hati, memang aku nak join sekali dengan Suhana. Tapi aku terpaksa membatalkan hasrat apabila memikirkan kerja yang menimbun Sabtu lepas. Mustahil, En. Rozan akan membenarkan aku mengambil cuti hari Sabtu itu.
“Su...” Panggilan Nazri menganggu perbualan kami. Dari mejanya, dia melambai-lambai memanggil Suhana.
“Kejap.” Suhana mengangkat tangannya menyuruh Nazri bersabar seketika. “Aku nak bagi barang Nazri pulak. Kalau ada yang tak puas hati tentang barang tu… aku minta maaf ler. Tak dapat den nak nolong. Nak refund pun jauh sangat.”
Dia ketawa kecil. Kemudian, dia berlalu ke meja Nazri yang sedang menantinya. Sebelum melangkah ke bilik, aku menjengah lagi sekali isi paper bag tersebut. Aku terbayangkan senyuman meleret dan wajah ceria Ummi pabila mendapat ‘hadiah kecil’ dariku ini.
Buah pala… dah terlalu lama Ummi kepinginkan kau. Dan hari ini, keinginannya akan termakbul. Aku tersenyum penuh di dalam hati.
~~ KSL ( ----<<--@ ) KSL ~~
Telefon berwarna putih yang berada di atas mejaku, berdering tiba-tiba. Aku mengangkat gagang seraya melihat jam di dinding. Hampir pukul 11.00! Leka sungguh aku menyiapkan kerja hingga tak sedar sudah lebih dua jam masa berlalu.
“Hello!” sapaku pada insan yang berada di hujung talian.
“Irdina? Masuk bilik saya sekejap!” Kedengaran suara En. Rozan. Pemilik Menhir Architect, syarikat tempat aku bekerja sekarang.
“Baik En. Rozan.”
Gagang kembali diletakkan di tempatnya. Aku mencapai planner di dalam drawer lalu melangkah keluar dari bilik pejabatku menuju ke bilik En. Rozan yang terletak di sebelah kanan ruang pejabat.
Aku mengetuk pintu. Setelah kedengaran suara En. Rozan memberi arahan dari dalam, barulah aku menguak pintu itu dan melangkah masuk.
“Have a sit,” pelawa En. Rozan mesra. Aku mengambil tempat duduk di kerusi pelawat yang tersedia di dalam ruang biliknya.
“Awak ada jobs luar yang perlu dilakukan petang ni?” Encik Rozan mengutarakan pertanyaan.
“Tak ada. Sepanjang hari ni saya akan berada di office.”
“Good. I want you to meet En. Salleh this evening.”
“Nak discuss pasal projek apartment ke?”
“Nope. Kita ada new project dengan dia. Nanti….” En. Rozan tidak menghabiskan ayatnya apabila terdengar bunyi ketukan di muka pintu. Dengan suara lantang dia mengarahkan orang yang berada di depan pintu biliknya itu masuk.
Pintu terkuak luas. Seorang lelaki berwajah kacukan muncul. Segak dan kemas dengan kemeja lengan panjang berwarna ‘light blue’ dan berseluar slack hitam. Dilemparkan sebuah senyuman buat En. Rozan. Dekat aku? Muka seposen tu jugak yang dia tunjuk. Lantak. Tak mati kelayuan pun aku, kalau tak ‘disinari’ senyuman dia tu…
“How’s the meeting? Any problems?” tanya En. Rozan pada Ezany.
Bibir Ezany terus sahaja menceritakan pada En. Rozan apa yang terjadi di mesyuarat yang dihadirinya. Tentang ketidakpuasan hati client. Sikap sambil lewa kontraktor menyiapkan kerja dan macam-macam lagi. Dah tak tertangkap dek telingaku.
Buat seketika, mereka berbincang tentang meeting tersebut. Sepertinya terlupa yang aku turut berada di situ. Bersama-sama menghirup udara di dalam bilik berkonsep modern ini.
Aku memerhatikan mereka berdua silih berganti. Tidak susah untuk meneka dari mana Ezany mendapat raut wajah seperti itu. En. Rozan berketurunan Inggeris. Jadi, sudah semestinya, gennya itu diwarisi oleh Ezany.
Sewaktu pertama kali berjumpa dengan En. Rozan, aku hampir tidak percaya mendengar dia bertutur dalam bahasa Melayu. Yalah, bagaimana seseorang yang berkulit putih mampu bertutur sefasih itu. Dan setelah mendengar ceritanya, barulah aku ketahui sebabnya. Rupa-rupanya, En. Rozan menetap di Malaysia sejak dari kecil lagi. Dia dibela oleh sepasang suami isteri berketurunan Melayu setelah kedua ibu bapanya meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya.
“Irdina, Ezany akan temankan awak petang ni. ” Suara En. Rozan membuatkan aku tersentak. Ezany akan temankan aku? Serta-merta aku gugup. Berdebar hebat jantungku. Gementar. Takut. Semuanya ada.
“Did you bring along the file for shop lot project, Ezany?” soal En. Rozan pada anaknya itu.
“Yes,” balas Ezany sambil mengunjukkan sebuah fail berkulit keras setebal 1½”. Diletakkan fail itu di atas meja En. Rozan.
“Irdina, awak boleh baca file ni dulu. Sebagai preparation sebelum awak menghadiri meeting tu. Awak jangan risau, meeting ni bukan formal. En. Salleh cuma nak discuss tentang design conceptnya dulu. He wants our opinion,” terang En. Rozan. File yang diletakkan Ezany sebentar tadi dihulurkan padaku.
Sememangnya aku risau, tetapi bukan disebabkan meeting itu. Kerisauanku berpunca dari Ezany. Selama ini, belum pernah aku ditugaskan berdua dengannya. Ini kali pertama. Kebiasaannya aku akan mengikut En. Rozan dan hanya 4 atau 5 kali sahaja aku menjalankan tugasan luar seorang diri.
Selama 3 bulan aku di sini, aku jarang bersembang atau berbual dengan Ezany. Pun begitu, ‘cebisan’ perbualan kami yang jarang-jarang itu seringkali membuatkan aku tidak selesa. Sikap dinginnya melayan setiap kata-kataku. Wajahnya yang lebih banyak mengukir senyum sinis berbanding senyuman ikhlas. Sindirannya. Semuanya menjadikan aku sedikit fobia apabila terpaksa ditugaskan dengannya.
“Irdina?” panggil En. Rozan perlahan. Membuatkan aku kembali menyedari di mana aku berada ketika ini.
“Don’t worry too much. Ezany akan bantu awak nanti. Dah 3 bulan saya trained awak dan rasanya awak dah boleh handle semua kerja luar,” tambahnya dengan senyuman di bibir.
“Insya-ALLAH…” Aku menjawab sambil membalas senyumannya. En. Rozan memang seorang majikan yang baik. Aku senang bekerja di bawahnya.
Ezany di sebelahku mendiamkan diri. Tidak menyampuk sedikit pun.
“Ada apa-apa perkara yang awak nak tahu pasal projek ni, tanya Ezany aje. Saya ada meeting sekejap lagi.” En. Rozan bersuara. Kertas-kertas dan fail yang berada di atas mejanya di susun lalu disimpan di dalam briefcase hitam.
“That’s all. Both of you can leave,” ujar En. Rozan lagi.
Tamat sudah perbincangan kami. Kerusi ditolak ke belakang. Aku bingkas bangun dan berjalan ke arah pintu. File projek yang dihulurkan En. Rozan sebentar tadi, di bawa bersama. Ezany turut mengekori aku dari belakang.
Aku perlu mengenepikan perasaanku. Dalam hal kerja, perasaan harus ditolak ketepi. Kerja yang lebih utama. Aku cuba menyematkan ayat itu di fikiran. Sekaligus mengurangkan ketidakselesaan yang aku rasakan sekarang.
Setelah berada diluar bilik En. Rozan, baru aku menyedari sesuatu. Aku lupa bertanya pada En. Rozan pukul berapa dan di mana meeting itu akan diadakan. Macam mana aku boleh careless sampai begitu sekali? Semua ini gara-gara fikirkan Si Ezany tu lah!
Nak berpatah balik dan bertanya pada En. Rozan ke? Aku menyoal diri sendiri. Tapi… En. Rozan dah nak keluar. Menganggu dia pulak nanti. Nampaknya, terpaksalah aku bertanya pada Ezany dengan menebalkan muka dan ‘menebalkan’ telingaku.
“Pukul berapa meeting tu nanti?” Aku memberanikan diri bertanya padanya yang berada di belakang.
“3 o’clock.”
“Di mana?”
Aku mendengar Ezany mendengus perlahan. Dan aku pantas berpaling ke belakang. Mengadapnya. Langkah kakiku serta-merta terhenti. Langkahnya turut terhenti.
“What?” soalnya tidak puas hati. Berkerut seribu dahinya yang putih kemerahan.
“I do hear you’re huffing. Susah sangat ke soalan I tu?” tanyaku. Nak jawab soalan pun berkira ke? Hampir-hampir juga ayat itu aku luahkan. tapi aku menahan bibirku dari mengucapkannya. Cukuplah sekadar hatiku sendiri yang bertanya.
Rasa tidak puas hati berkumpul di dadaku.
“Yes, very hard indeed. Kenapa you tak tanya jer semua soalan tu pada daddy I tadi?” soalnya sinis.
Aku terdiam seketika. Kehilangan butir-bicara mendengar ‘kebenaran’ kata-katanya.
“It just slip off my mind,” balasku perlahan. Mengakui kecuaianku sendiri. Sepatutnya perkara-perkara begitu, perlu sentiasa diingat dan diberi perhatian. Rasanya nak aje aku ketuk-ketuk kepalaku ini. Ish, aku memang sengaja mencari nahas!
“That’s the consequences you’ve to take if your ‘hobby’ is daydreaming. Macam tak ada hobby lain yang boleh dibuat,” perlinya tajam. Mungkin itu anggapannya setelah dia melihat keadaan aku yang seakan ‘terbang di angkasa’ sewaktu di dalam bilik En. Rozan.
Malu ada. Geram pun ada. Namun rasa geramku melebihi rasa malu. Lantas aku menggetap bibir. Sedaya-upaya aku berusaha menenangkan diri. Mulut dia memang tak ada insurans sungguh! Pandai-pandai aje mengata aku macam tu.
“Kalau you nak jadi statue kat sini, go ahead. But please… don’t drag me along. Just tell me, di mana tempatnya. I ada banyak kerja lagi nak dibuat,” kataku tidak sabar. Telingaku ini sudah cukup terasa panasnya. Seboleh-bolehnya aku tidak mahu lagi mengadap mukanya. Biarpun sehandsome mana pun wajahnya itu.
“Di Syarikat Megah Jaya.”
“Boleh pun cakap… I jumpa you di sana nanti,” ujarku seraya kembali berpaling semula ke hadapan. Ingin terus melangkah ke bilik. Aku perlu membaca fail projek yang diberi En. Rozan untuk meeting petang ini.
“Irdina, wait!” panggilnya semula.
Apa lagi yang dia nak? Dengan riak tidak puas hati, aku menoleh ke arahnya semula.
“Apa?” Sepatah aku bertanya dengan wajah kelat.
“You tak payah menyusahkan diri nak drive sendiri. We’ll go together and I’ll drive.”
Hah?! Ribut tak ada, banjir pun tak. Tetiba aje offer diri nak drive. Musykil betul aku dibuatnya.
“Kenapa you baik sangat pulak ni?” soalku ragu-ragu. Tajam anak mataku merenung wajahnya. Curiga dan was-was bergabung menjadi satu.
Dia mara ke arahku.
“I bukan nak buat baik dengan you. I just nak save company’s budget. If you claim then I pun claim, company akan rugi. Tokey balak pun rugi. Pergi sekali, jimat. Sekali aje claimnya,” katanya sinis tanpa berhenti. Langkahnya terus di atur menghala ke biliknya.
Merah padam mukaku mendengar dia berkata begitu. Apa? Dia ingat aku ni menghabiskan harta daddy dia ke?
“Bila nak pergi nanti, I panggil you. Duduk kat bilik tu diam-diam, jangan nak merewang tak tentu pasal pulak. I bukannya agent KGB yang di assign to search for a missing person,” selamba dia berkata begitu.
Jelingannya sempat menyapa anak mataku sebelum dia menghilang di balik pintu biliknya. Eh, dia ingat anak mata dia tu dah cukup tajam ke, nak jeling-jeling orang macam tu? Setakat mata hazel macam tu, tapi tak ada laser, tak payahlah nak berlagak, ngomelku dalam hati. Ezany ni sengaja menaikkan darahku.