Hujung minggu itu, Auntie Sarah bertandang ke rumah. Buat pertama kali kami berpeluang bertentang mata. Dia datang bersama anak perempuannya, Adelia yang masih dalam lingkungan belasan tahun. Serasa-rasaku dia mungkin berumur 16 tahun. Manis budaknya! Sentiasa tersenyum. Dan seperti kata Ummi, Auntie Sarah memang baik orangnya. Peramah. Begitu juga Adelia. Mudah sahaja aku memesrakan diri dengan mereka berdua.

“Zaman akak muda-muda dulu, Ummi selalu cerita pasal Auntie Sarah. Tapi bila akak habis sekolah, dia dah tak cerita lagi dah,” ujarku pada Adelia ketika kami berada di dapur. Aku mengeluarkan teko dari dalam kabinet.

“Akak cakap tu, macamlah akak dah tua sangat. Lia rasa akak dalam mid-twenties lagi, betul tak?” soal Adelia dengan tawa kecil. Agaknya kata-kataku tadi menggelikan hatinya. Dia duduk di meja makan kecil yang tersedia di ruang dapur.

“Lia janganlah puji akak cam tu. Segan akak. Sebenarnya umur akak dah 30, tau tak?” Beritahuku dengan wajah malu yang dibuat-buat. Konon-kononnya umur aku memang tua benar. Padahal tekaan Lia sedikit pun tidak tersasar. Aku sengaja nak mengenakan gadis manis itu. Bergurau-senda kan boleh merapatkan perhubungan?

Adelia membeliakkan mata seluas-luasnya. Nampak sangat dia tak mempercayai ‘pengakuan’ku tadi. Senyuman yang hampir terlukis, cuba kutahan sedaya-upaya. Sambil cuba bersikap bersahaja, aku menuang air panas ke dalam teko yang berisi uncang Lipton.

“Akak serius ke?” Adelia meminta kepastian.

Aku mengangguk pantas. Pura-pura serius. “Akak guna Sendayu Tinggi, sebab tu maintain awek muda,” kataku bersahaja bila teringat iklan Sendayu Tinggi di tv. Sekarang ni, macam-macam produk kecantikan yang ada. Sendayu tinggi, Felisa Cosmetic, Jelita, D’Hanz dan entah apa-apa lagi. Berlambak-lambak di pasaran. Dah tak terhitung aku dibuatnya.

“Erm… patutlah ibu cakap nak jodohkan akak dengan Abang Long. Memang sesuai sangat. Sebaya…” Aku yang sedang menyusun cawan di dalam dulang, pantas menoleh ke arah Adelia tatkala mendengar butir-bicaranya. Terhenti terus gerakan tanganku. Terkejut. Pantas jantungku berlari. Mengalahkan orang yang baru lepas exercise.

Menjodohkan aku dengan Abang Long Adelia? Aku mengulang ayat itu semula di dalam minda. Biar betul! Takkan Ummi dah merancang tanpa pengetahuan aku, tuan empunya diri. Adakah kata-kata Ummi dulu sebenarnya memang bermaksud? Aduh, kes kahwin ber‘stail’ dulu-dululah pulak… Buat tambah pening kepala aku sahaja. Sanggupkah aku menurut kemahuan Ummi? Pening-pening.

Tiba-tiba telingaku menangkap tawa kecil Adelia. Lantas aku mengecilkan anak mataku. Merenungnya dalam.

“Lia…” Aku menyeru namanya. Meminta dia berterus-terang. Aku nak tahu kebenarannya.

Akhirnya, ketawa Adelia pecah. Memenuhi ruang dapur yang hanya dihuni kami berdua. Sah! Memang kes nak kenakan aku balik. Pandai jugak anak Auntie Sarah ‘membalas dendam’. Kecut perut aku seketika.

“Pucatnya muka akak. Takut kahwin, ek?” usik Adelia dengan tawa yang belum berhenti.

“Bukan takut, terkejut aje…” sanggahku lembut. Aku meletakkan teko yang telah siap berisi air teh ke dalam dulang. Lalu membawanya ke meja yang Adelia duduki.

“Akak kelentong Lia, Lia kelentong akak balik,” katanya sambil tersengih. Tak ubah macam kerang yang dah tak boleh di makan. Kerang busuk, nama pendeknya.

“Bijak. Jadi aksi ‘terkejut-tergempar’ tadi pun, hanyalah rekaan semata-mata? Tiada kena mengena dengan yang hidup mahupun yang mati?” soalku dalam nada gurauan. Aku menarik kerusi lalu melabuhkan punggung di situ.

Adelia meluahkan tawanya sebelum berkata “Ha’ah. Lia tahu umur akak bukannya 30 sebab kata ibu, abang akak baru 29. So, takkanlah akak sebagai adik berumur lebih tua. Tak logik…”

Aku menyambut kata-katanya dengan senyuman penuh. “Lia memang dah tahulah umur akak berapa?”

“Tak. Ibu pun tak tahu. Ibu cuma ingat umur abang akak je. Lagipun Abang Long cuma tua setahun je dari abang akak tu.”

Aku mengangguk faham. “Memang sesuai la Ummi dengan Auntie Sarah,” ujarku kemudian.

“Kenapa?” Pendek benar soalan Adelia.

“Sebab… Ummi pun cuma ingat umur Abang Long Adelia tu, tua setahun je dari abang akak,” kataku bersama tawa. Dan kemudian tawaku disambut Adelia.

“Akak tak sunyi ke, ada dua-beradik je?” tanya Adelia setelah ketawa kami reda.

“Mmm… sunyi? Entah. Tak pernah pulak akak rasa macam tu. Adik beradik Lia ramai ke?” Giliran aku pula bertanya.

“Termasuk dengan Lia, ada 4. Abang Long, Abang Ngah dan Abang Chik. Lia yang bongsu sekali. Anak perempuan tunggal…” katanya dengan sengihan. Seronok atau berbangga menjadi ‘puteri’ kesayangan di dalam rumahnya, aku tak berapa pasti.

“Semua lelaki? Seronok ke?”

“Kadang-kadang seronok, kadang-kadang sakit hati. Yelah, Lia sorang perempuan. Yang asyik kena kacau, kena usik, Lia je. Dah tak ada orang lain yang diorang nak ganggu…” ujarnya dengan muncung panjang sedepa. Tak puas hati kot kena dibuli selalu. Aku yang ada seorang abang pun, kadang-kadang berangin. Tambah pulak Adelia yang ada 3 orang abang. Jenuh dia nak bertahan.

“Sekejap aje tu Lia. Esok kalau diaorang dah kahwin, dah tak buat dah perangai cam tu…” Aku cuba memberikan harapan buat Adelia. Harapan bahawa hidup ‘ngeri’nya itu akan berakhir tak lama lagi.

“Betulla kak. Abang Long semenjak dah kahwin, jarang dia nak buat perangai. Mmm… Agaknya Lia nak kena suruh Abang Ngah kahwin cepat-cepat la. Selamat sikit. Nak suruh Abang Chik, lambat lagi lah jawabnya, sebab dia masih study. Tapi… Abang Ngah nak kahwin dengan sapa? Selama ni, tak pernah Lia dengar dia ada awek. Kot-kot dia rahsiakan ke, tak sure la pulak.” Panjang lebar Adelia berceloteh. Aku hanya memasang telinga. Menjadi pendengar setia. Tak sangka pulak Abang Long Lia sudah berkahwin. Nampaknya apa yang Ummi katakan dulu, hanya gurauan semata.

“Berapa umur Abang Ngah dan Abang Chik Lia?” soalku ingin tahu.

“Abang Chik baru 20. Sekarang sambung study kat UTM. Abang Ngah pulak dah 28. Dia kerja dengan ayah.” Adelia memaklumkan. Oh, ayah dia ada syarikat sendiri. Bertuah badan. Pekerjaan sudah guarantee dalam tangan bila sampai waktunya.

“Untunglah Lia. Esok bila dah habis study, tak payah susah-susah nak cari kerja,” ujarku.

“Tak nak ah. Tak best. Lia tak minat sangat bidang hartanah…” sahutnya dengan wajah yang sedikit masam.

“Hartanah? Apa nama company ayah Lia. Mana tahu, akak kenal ke. Coz akak pun kerja dalam bidang tu jugak.” Aku memberanikan diri bertanya. Bukan nak menyibuk, tapi memandangkan aku pun berkecimpung dalam bidang yang sama, mungkin aku berpeluang mengenali ayah Adelia. Hmm… nama ayah Adelia pun aku tak pernah tahu.

“Nama syarikatnya...”

“Hani…” Belum sempat Lia menghabiskan ayatnya, suara Kak Sofea bergema dari arch dapur. Segera, kami berdua menoleh padanya yang tercegat berdiri. “Minuman dah siap?”

Baru aku teringat, air teh yang aku sepatutnya aku bawa ke ruang tamu sebagai minum petang, terbiar di sapa udara di atas meja. Panas lagi tak air teh tu? Tapi kalau suam sikit pun tak apa. Lidah pun tak melecur disimbah kepanasan air tu nanti. Pandai jer aku buat konklusi nak ‘bersihkan’ rasa bersalah di hati…

“Ya ALLAH, kak. Hani lupa. Sibuk sangat sembang dengan Lia,” kataku dengan rasa bersalah yang terpampang di wajah. Pandangan mata redup memohon kemaafan darinya. Kak Sofea tersenyum kecil. Mengangguk tidak, menggeleng jauh sekali.

Pantas aku bangun dari kerusi.

“Jomlah, kita ke depan.” Aku mengajak Adelia yang juga berdiri setelah melihat aku berbuat begitu. Kami berjalan beriringan ke ruang tamu bersama sedulang air teh ditanganku. Persoalan yang aku bangkitkan tadi, terkubur tanpa jawapan dengan kemunculan Kak Sofea.

~~ KSL ( ----<<--@ ) KSL ~~

Masa berlalu terlalu pantas. Sedar tak sedar, hari dah menginjak ke petang. Menandakan malam bakal berlabuh kurang dua jam dari sekarang. Aku menghantar kepulangan Auntie Sarah dan Adelia ke muka pintu. Begitu juga Mama, Along dan Kak Sofea. Walau dari pagi tadi lagi mereka dah datang, rasanya seperti sekejap sahaja. Pertemuan ini bagaikan terlalu singkat. Apatah lagi bagi Ummi yang sememangnya menantikan pertemuan semula dengan kakak angkatnya ini.

“Weekend lagi sekali, kita pergi ya?” Auntie Sarah bertanya pada Ummi di porch.

“Insya-ALLAH. Apa-apa hal nanti Min call akak balik,” sahut Ummi. Aku yang berdiri di sebelah Ummi, diserang tanda-tanya mendengar butir perbualan mereka. Ke manakah mereka nak pergi? Aku memandang Along, meminta clue. Along hanya menjungkitkan bahu. Aku memandang Adelia pula. Reaksinya juga sama seperti Along. Tidak mahu menyampuk perbualan orang tua, aku memendam persoalan yang bersarang di minda. Alah, lambat-laun, aku pasti akan tahu jugak perancangan mereka tu.

“Akak balik dulu, Min. Haris, Hani, Sofea, Auntie balik dulu. Bila-bila free, bawaklah Ummi jalan ke rumah Auntie pulak,” pelawa Auntie Sarah.

“Insya-ALLAH,” serentak aku dan Along menjawab. Adelia menyalam dan mencium tangan Ummi. Manakala aku dan Kak Sofea mengambil giliran masing-masing melakukan perbuatan yang sama pada Auntie Sarah.

Aku menghantar pemergian Auntie Sarah dengan pandangan mata. Hingga kelibat Mercedesnya hilang di balik selekoh di hujung jalan.

Aku menghayun langkah ke dalam rumah. Namun, langkahku terhenti sesaat suara Ummi memanggil namaku menyapa.

“Hani… jumaat minggu depan, apply cuti boleh?” pinta Ummi.

“Untuk apa, Ummi?” soalku semula. Nak minta cuti, aku perlukan alasan yang konkrit. Aku perlu tahu tujuan Ummi menyuruh aku buat begitu.

“Ummi nak ajak Hani ke Penang. Ke rumah Mak Long. Kita pergi sekali dengan Auntie Sarah… boleh?” pintanya lagi. Riak muka Ummi penuh dengan harapan. Tak mahu aku mengecewakan permintaannya. Rupanya hal ini yang dikatakan oleh Auntie Sarah sebelum dia balik tadi.

Mak long, mak Auntie Sarah. Entah bila masa agaknya, Ummi bincangkan hal ini dengan Auntie Sarah. Tak dapat aku nak menduganya.

“Kalau cuti Hani approved, boleh lah Ummi, kalau tak…,” balasku tanpa memberikan kata putus. Masakan aku boleh berjanji dengan Ummi, padahal aku masih tidak pasti adakah En. Rozan bakal ‘membebaskan’ aku pada hari Jumaat nanti. Kalau kerja berlonggok, jangan haraplah cuti aku akan diluluskan. Pun begitu, rancangan Ummi dan Auntie Sarah memang menarik. Dah lama aku tidak menjejakkan kaki ke Pulau Pinang. Dah hampir 10 tahun rasanya.

“Hani cubalah dulu. Kalau tak dapat jugak, terpaksalah Ummi tunda ke weekend lain pulak,” kata Ummi penuh mengharap. Membuatkan aku tak sampai hati nak menghampakan Ummi yang seolah-olah berhajat benar.

“Insya-ALLAH, Ummi. Hani cuba…” balasku seraya merenung wajah Ummi yang sedikit pucat. Sejak akhir-akhir ini, kesihatan Ummi kerapkali terganggu. Demam. Batuk. Cepat letih. Risau aku melihatnya. Tapi, menurut Ummi, itu hanya sakit biasa. Tiada apa-apa yang serius. Dan memikirkan cuaca sekarang tidak menentu, aku lempar jauh-jauh segala kegusaran dan kerisauan dari hatiku ini. Mungkin perubahan cuaca yang menyebabkan Ummi berkeadaan begitu…

little chit-chat :

ermmm… dah ada hint siapa anak auntie sarah tu… agak2nya lah, siapa orgnya?! I’ll leave it for u guys to guess… *wink*

hD, tgh2 mlm pun kena update :( tp dah promise, kan… :) lengan kanan pun dah rasa cam nak tercabut… nak kata angkat AIRBUS 360 pun x. nak kata angkat statue of liberty pun x. eita bukannya Superwoman. Tp, nape lengan rasa cam nak terkeluar dr sendi nih? Ada org dera ker? muahahaha…. *wink*