Rutin harianku telah berubah semenjak Zafir dimasukkan ke hospital. Kalau tidak terlalu sibuk dengan kuliah dan assignment, aku akan datang melawatnya. Membawa buah tangan, majalah, dan buku untuk Zafir mengisi masanya. Ada kalanya aku datang dengan ditemani Rohana dan Norlida. Kadang-kadang aku datang melawat bersendirian. Walaupun ada ketikanya aku penat dan letih yang teramat, tetapi aku gagahkan jua diri untuk meluangkan masa dengannya. Demi cintaku yang tak berbelah bahagi padanya.
Sepanjang Zafir berada di hospital, bermacam-macam jenis ujian pemeriksaan yang terpaksa dihadapinya. Penyakitnya juga masih belum dapat dikenalpasti. Aku semakin bimbang dengan keadaan itu. Zafir pula semakin hari, semakin tidak bertenaga, berat badannya susut secara tiba-tiba. Dan apabila aku meluahkan kebimbanganku padanya, lelaki itu akan berusaha menenangkan hatiku. Berbagai-bagai alasan akan diberikan. Mungkin dia tidak mahu aku terlalu memikirkan tentang dirinya.
“Bila Fir boleh keluar?” Entah kali yang ke berapa soalan yang sama meniti di bibirku. Setiap kali melawat Zafir, soalan itu tidak pernah lekang dari bibir ini. Perit rasanya menanti Doktor Hadi mengumumkan tarikh Zafir dibenarkan pulang ke rumah. Tanganku lincah mengupas kulit buah epal yang di bawa bersama sebentar tadi.
“Hmm… Fir tak tahu. Doktor tak cakap apa-apa pun.” Zafir yang sedang membaca majalah menjawab acuh tak acuh. Khusyuk dia membelek majalah di tangannya. Tubuhnya disandarkan di kepala katil. Kesihatannya hari ini lebih baik sedikit berbanding semalam.
“Har selalu lawat Fir ni, tak ganggu kuliah Har ke?” soal Zafir kepadaku yang duduk di kerusi pelawat. Majalah di tangannya ditutup. Kemudian diletakkan di sebelah. Diperhatikan aku yang sedang mengupas buah.
“Tak… kenapa? Fir tak suka Har lawat Fir selalu? Ke, ada orang lain yang Fir tunggu?” Aku bertanya selamba.
“Orang lain? Maksud Har?” tanya Zafir kehairanan.
“Mana tahu, spare tyre ke?” usikku.
“Spare tyre?”
“Har ni macam psychic plak. Boleh tahu fikiran orang. Ni mesti pakai spy ni! Jangan risaulah spare tyre Fir a.k.a bakal madu Har nanti takkan datang hari ni. Fir dah bagitau semalam yang Har datang hari ni. Dia takut terserempak dengan Har!” Balas Zafir bersahaja.
Bulat mataku merenung wajah Zafir. “Fir memang! Menanam tebu dipinggir bibir. Lain di mulut lain di hati.” Buah epal yang telah siap dikupas, ku letakkan di dalam pinggan plastik. Aku menarik muka masam. Pandanganku halakan ke luar jendela.
“Har yang cakap macam tu, kan,” ujar Zafir. “Bila Fir mengaku, Har marah. Kat hati ni, tak ada nama orang lain, cuma nama Har je tau!”
“Macam mana Har nak tahu, betul ke tak apa yang Fir cakap?” soalku serius.
Zafir menggaru kepalanya yang tidak gatal. Berfikir-fikir sebentar.
“Buat macam orang dulu-dululah,” jawabnya setelah mendiamkan diri buat beberapa ketika. Entah apa yang difikirnya.
Aku mengangkat kening, tanda tidak faham.
“Ambil kapak belahlah dada…,” Terlepas tawa dari mulut Zafir.
Aku terdiam. Tidak langsung menyambut tawanya. Main-main, leterku di dalam hati.
“Eh, buah epal tu takkan nak letak kat situ jer. Fir nak makan. Har tak kesian kat Fir ker? Kempunan Fir nanti,” kata Zafir sambil memandang wajahku.
“Har…,” disebutnya namaku selembut yang mungkin. Ditenung wajahku lama.
“Har…” Panggil Zafir lagi. “Pandanglah sini. Sorry.. Fir tak boleh nak bagi bunga nak pujuk Har. Kat sini tak jual. Bila Fir dah keluar dari sini nanti, I promise… I’ll buy you flowers. Cakap jer berapa Har nak. Sekuntum, dua kuntum, sedozen, Fir sanggup beli!” Cuba disentuhnya jari-jemariku.
Tiba-tiba aku tersenyum kecil.
“Tau takut! Main-main lagi kalau orang cakap.” Cepat-cepat aku melarikan tangan jauh daripada tangannya. Tak selesa rasanya berpegangan tangan di situ. Lantas aku mencapai buah epal lalu dipotong satu-persatu.
“Nasib baik. Har ni bukannya Fir tak tahu, kalau merajuk, jenuh nak memujuk.” Perli Zafir.
“Tak baik tau Fir mengata Har macam tu.”
“At least Fir mengata Har depan-depan.”
“Pandailah!”
Buah epal yang dipotong kuhulurkan padanya. Buah itu hanya dipandang oleh Zafir, tiada tanda-tanda dia akan mengambilnya.
“Eh, tadi beria-ia nak makan. Kempunan lah, itulah, inilah. Sekarang tak nak pulak?” Soalku dengan dahi berkerut. Ku tatap wajah Zafir. Sakit ke?
“Fir nak Har suap,” bisik Zafir perlahan sambil tersenyum.
“Manjanya… jangan nak mengada-ngada. Suap sendiri.”
“I’m sick. Tak boleh nak makan sendiri. Please…”
“Tak nak.”
“Please la sayang.” Rayu Zafir lagi.
“Tak nak. Tak payah nak bersayang-sayang. Kalau Fir panggil Har belian ke, emas, ke, honey ke, darling ke, baby ker, sweetie ke, sugar ke, still takkan dilayan.”
Zafir ketawa kecil. Aku tersenyum.
Pada ketika itu, terdengar ketukan di muka pintu. Pantas aku mengalihkan pandangan ke arah pintu yang terbuka. Doktor Hadi masuk bersama seorang jururawat. Di belakangnya, berdiri Aunty Zuraida, Uncle Johan dan Adrina. Melihat Doktor Hadi, terus aku berdiri. Sebuah senyuman kulemparkan buat doktor itu.
“Dah lama Har sampai?” tegur Aunty Zuraida setelah aku bersalaman dengannya dan Adrina.
“Pukul 3.00 tadi, auntie. Rina apa khabar?” soalku pada Adrina. Selama dia melawat Zafir, ini kali pertama aku berselisih dengannya.
“Baik, kak.” Balas Adrina. Gadis 15 tahun itu kelihatan cantik dan manis walaupun hanya berseluar jeans biru, berT-shirt putih dan bertudung bunga biru. Dialah satu-satunya saudara kandung Zafir.
“Saya dah dapat keputusan ujian awak, Zafir.” Doktor Hadi menyampaikan beritanya. Kesemua yang berada di situ menumpukan perhatian terhadap apa yang ingin disampaikan olehnya. Dadaku berdebar-debar menanti butir-bicara seterusnya. Tidak sabar rasanya menahan rasa hati ini yang meluap-luap ingin tahu.
“Pakar radiologi sudah selesai mengkaji gambar X-ray dan keputusan-keputusan ujian awak.” Doktor Hadi menghela nafas seketika. Fail yang berada di tangannya, dibuka. Dilihatnya seimbas lalu.
“Biarlah saya berterus-terang. Kami dapati awak menghidap cancer. Lebih tepat lagi, cancer tulang.”
Kata-kata Doktor Hadi membuatkan aku tergamam. Begitu juga Zafir dan ahli keluarganya. Masing-masing terkedu dan terkejut dengan berita yang baru diterima. Berita yang langsung tidak diduga oleh kami.
“Cancer?” Uncle Johan mengulangi apa yang disebut Doktor Hadi sebentar tadi. Jelas dia amat terkejut. “Tapi selama ni, dia sihat aje!”
Cancer? Perkataan itu berlegar-legar di fikiran. Aku bagaikan tak percaya. Benarkah? Tak mungkin! Jerit hatiku. Badanku terasa berpeluh tiba-tiba. Gementar menyerang seluruh tubuh.
“Simptom-simptom penyakit ni, memang jelas dialami oleh Zafir. Bengkak, berpeluh di waktu malam, demam, kekurangan berat badan, sakit di bahagian belakang, sakit tulang. Secara kasar, tanda-tanda penyakitnya sama dengan penyakit biasa, susah nak dikesan sebab itu pihak kami terpaksa jalankan berbagai jenis ujian untuk menentukan penyakit sebenar,” terang Doktor Hadi.
Suasana sunyi sepi seketika.
“Saya boleh pulih ke doktor?” Zafir bersuara tenang. Seolah-olah berita yang baru diterima langsung tidak memberi kesan padanya.
“Maafkan saya. Cancer awak sudah berada di tahap kritikal. Awak terpaksa menjalani pemindahan tulang sum-sum dengan segera. Tapi, untuk mencari penderma tulang yang sesuai dengan awak agak sukar kerana awak mempunyai jenis darah yang jarang dijumpai. Buat masa sekarang, awak akan menjalani chemotherapy untuk menghalang sel cancer daripada merebak sehinggalah kami dapat penderma yang sesuai. Jika tiada penderma yang sesuai dalam masa lima atau enam bulan dari sekarang, berkemungkinan besar peluang awak untuk hidup amat tipis.” Doktor Hadi bersuara tenang.
Dipandangnya wajah Zafir seketika sebelum menundukkan wajahnya.
Aunty Zuraida terjelepuk jatuh tapi sempat dipaut suaminya. Dipimpin isterinya ke sofa dan didudukkan. Uncle Johan turut duduk di sampingnya. Kata-kata perangsang diberikan untuk menenangkan hati isterinya.
“Tapi awak jangan mudah mengalah. Awak mesti kuat. Ajal maut di tangan ALLAH. Saya hanya memberitahu berdasarkan ilmu yang saya ada. Keputusan semua di tangan-NYA. Sama-samalah kita berdoa agar penyakit awak dapat diubati. Banyak-banyaklah bersabar. Ingat ALLAH selalu.” Tambah Doktor Hadi lagi.
Esakan kecil kedengaran dari mulut Adrina. Biarpun perlahan, cukup untuk aku menangkap esak tangis itu. Sebak hatiku tak terkata. Dan perlahan-lahan air mataku mengalir membasahi pipi. Walau sedaya-upaya aku cuba menahan diri dari menangis, aku tak berdaya. Segala kegembiraan yang dirasakan sebentar tadi bersama Zafir, hilang tiba-tiba. Yang tinggal kini hanyalah kesedihan.
Zafir hanya membisu tanpa kata.
~~ KYKS ( ----<<--@ ) KYKS ~~
Langkahku longlai memasuki rumah. Tak terdaya rasanya kaki ini untuk melangkah. Berita yang diterima sebentar tadi masih terngiang-ngiang di telinga. Sukar untuk ku mempercayainya. Tambahan pula bila Doktor Hadi meluahkan sesuatu yang tidak pernah kujangka akan terjadi kepada Zafir.
“Jika tiada penderma yang sesuai dalam masa lima atau enam bulan dari sekarang, berkemungkinan besar peluang awak untuk hidup amat tipis.”
Lima atau enam bulan? Kenapa terlalu singkat? Ya ALLAH… ujian apakah ini? Ujian untuk diriku atau untuk Zafir? Hati… tabahlah kau menghadapi ujian ALLAH.
Aku menghempaskan tubuh di sofa biru ruang tamu. Kupejamkan mata serapat-rapatnya, menghilangkan kekusutan yang melanda diri. Ku cuba sedaya upaya memadamkan ingatan di hospital lewat petang tadi. Selepas Doktor Hadi berlalu pergi, Zafir langsung tidak mahu bersuara. Aku tak tahu apa yang dirasakannya. Susah untukku selami isi hatinya. Kasihannya dia…. Sebak yang seakan mula terasa cuba kutahan. Wahai hati… jangan kau menangis… Ingatan… pergilah kau jauh-jauh dari fikiran ini…
“Dina, bila balik?” suara ibu mengejutkan aku yang hanyut di alamku sendiri.
Serta-merta mataku terbuka. Ibu memandang wajahku dengan riak hairan. Dia merenung jauh ke dalam anak mataku, cuba mencari sesuatu. Sudah pasti ibu hairan melihat mataku yang membengkak. Ah ibu… kau tak tahu apa yang terjadi.
“Kenapa ni?” Ibu mengambil tempat di sisiku. Dipegangnya tanganku sambil diusapnya perlahan-lahan. Mendengarkan suara ibu yang lembut bertanya dan tingkah laku ibu yang jelas membayangkan kerisauan hatinya, membuatkan hatiku tersentuh. Aku tak dapat bertahan lagi. Lantas aku memeluknya erat-erat. Air mata yang sedari tadi cuba ditahan mengalir jua.
“Zafir…” ujarku sambil teresak-esak. Hanya itu yang mampu kuluahkan.
“Kenapa dengan Zafir?” soal ibu. Diusapnya belakangku perlahan-lahan. “Dina dah putus hubungan dengan dia?”
Aku menggeleng.
“Dia sakitkan hati Dina?” soal ibu lagi.
Aku menggeleng lagi.
“Dina sakitkan hati dia?”
Pun aku menggeleng. Hanya esak tangisku yang kedengaran. Bagaimana mahu aku khabarkan padamu ibu? Aku takut untuk memperkatakan tentangnya.
“Habis tu, kenapa? Cuba Dina beritahu ibu. Mana tahu kalau ibu boleh tolong.”
Aku cuba bertenang. Ku gagahkan jua diri ini mengkhabarkan pada ibu berita aku terima di hospital. Aku meleraikan pelukan. Wajah ibu kuperhatikan.
“Zafir menghidap kanser,” ujarku penuh lirih. Terluah jua ayat itu dari mulutku.
“Innallillahhiwainnalhiroji’un.” Ibu mengucap panjang.
“Kata doktor, kalau tak ada penderma tulang sum-sum dalam 5 atau 6 bulan akan datang, peluang untuk Zafir hidup, tipis.” Luahku lagi.
Terus ibu menarik aku ke dalam pelukannya semula. Dipeluknya aku seerat yang mungkin. Diusapnya kepalaku yang bertudung dengan penuh kasih sayang. Aku benar-benar terharu. Perlakuan ibu memberikan aku sedikit kekuatan untuk menghadapi dugaan yang melanda kala ini.
“Ibu nak Dina banyak-banyak bersabar. Selalu berdoa pada ALLAH. Jangan ikutkan hati sangat. Insya-ALLAH, ibu yakin Zafir akan selamat.” Nasihat ibu menusup masuk ke telinga.
